KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri dalam perancangan projek pembangunan, sebaliknya sentiasa memberi penekanan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan pembangunan antara 2022 hingga 2025 menunjukkan peningkatan ketara kepada negeri yang kurang membangun.
“Bagi Sabah, peruntukan naik daripada RM5.2 bilion pada 2022 kepada RM6.7 bilion pada 2025, manakala Sarawak meningkat daripada RM4.7 bilion kepada RM5.9 bilion.
“Turut menerima tambahan ialah Terengganu (RM1.4 bilion kepada RM1.8 bilion), Kelantan (RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion), Kedah (RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion) dan Perlis (RM400 juta kepada RM600 juta),” katanya.
Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) pada Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, menurut Anwar, kerajaan terus memberi keutamaan kepada projek infrastruktur utama di Sabah dan Sarawak.
Katanya, sehingga Disember 2024, sembilan daripada 11 pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan empat daripada 35 pakej Pan Borneo Sabah telah siap.
“Kerajaan turut meneruskan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan kos RM15.9 bilion, meluluskan projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) bernilai hampir RM10 bilion, serta menubuhkan Pusat Kanser Sarawak berjumlah RM1 bilion bermula 2025 hingga 2032.
“Di Semenanjung, kerajaan juga meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan kos keseluruhan RM74.96 bilion.
“Projek ini akan menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang, mengurangkan masa perjalanan, memindahkan kargo dari jalan raya ke kereta api serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri-negeri Pantai Timur,” ujarnya.
Selain itu, katanya, projek Central Spine Road (CSR) bernilai RM6.38 bilion turut dilaksanakan sebagai laluan alternatif ke Pantai Timur tanpa bergantung kepada Lebuhraya Karak.
Tambahnya, kerajaan juga memperuntukkan RM25.08 bilion untuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara dengan RM8.84 bilion daripadanya disalurkan ke Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Dalam masa sama, projek bekalan air turut diberi tumpuan, termasuk pinjaman lebih RM1 bilion melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk Kedah dan RM1 bilion bagi Kelantan selain menerima kelulusan projek Skim Pemindahan Air Jeniang bernilai RM922 juta.
Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dipertanggungjawabkan melaksanakan pembangunan kawasan perindustrian dan hab logistik di Sidam, Kedah dengan kos RM700 juta, ujar beliau.
“Kerajaan turut meluluskan RM723 juta untuk projek infrastruktur di Lembah Chuping, Perlis, selain menaiktaraf Empangan Timah Tasoh Fasa 3 bernilai RM300 juta,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, prinsip kerajaan Madani adalah memastikan setiap negeri mendapat manfaat pembangunan tanpa diskriminasi.
“Kerajaan akan sentiasa adil dan terangkum dalam agihan peruntukan pembangunan. Setiap projek dinilai secara holistik dengan fokus kepada kesejahteraan rakyat, pemerkasaan ekonomi tempatan, serta penciptaan peluang pekerjaan terutama di wilayah kurang membangun,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















