SEGAMAT – Setakat ini tiada laporan kerosakan harta benda, kenderaan atau kemalangan jiwa susulan gempa bumi terbaharu bermagnitud 2.5 yang berlaku di daerah ini pukul 7.56 malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Benca Daerah Segamat dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan, meskipun begitu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus memantau keadaan semasa.
“Menurut laporan awal, gegaran dapat dirasai oleh penduduk di kawasan sekitar daerah Segamat dan kawasan berdekatan.
“Pihak berkuasa keselamatan serta agensi-agensi yang berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di Segamat berada dalam keadaan selamat terutama orang awam,” menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa berkenaan meminta orang awam bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti MetMalaysia dan agensi kerajaan yang lain.
Rabu lalu, gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada pukul 8.59 pagi di daerah ini dengan gegaran dilapor dirasai beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.
Sebelum itu pada 24 Ogos lalu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di daerah ini pada pukul 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1.
Ini disusuli gegaran kedua pukul 9 pagi di Yong Peng, 28 kilometer (km) di barat laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.- MalaysiaGazette
















