Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama delegasi yang hadir ke Persidangan Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua Pemimpin: Peranan Pemimpin Agama Dalam Menyelesaikan Konflik di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 28 OGOS 2025

PETALING JAYA – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menimbulkan kekacauan atau menyebarkan kebencian terhadap kaum dan agama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang bertuah kerana menikmati keamanan melalui sistem demokrasi.

“Kita tidak boleh membiarkan masyarakat hancur akibat perpecahan sebegini,” katanya ketika berucap di Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama Kali Kedua, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

Menurut Anwar, di Malaysia, umat Islam yang membentuk 60 peratus populasi rakyat hidup bersama penganut agama lain.

Jelasnya, ia menuntut pentadbiran negara menggunakan pendekatan berlandaskan keadilan, maruah, kehidupan dan kehormatan untuk setiap lelaki, wanita, belia dan kanak-kanak.

“Sebagai seorang Muslim, saya mengamalkan Islam. Namun saya juga sedar bahawa agama saya mengajarkan rahmatan lil-‘alamin  iaitu kasih sayang dan rahmat untuk seluruh alam.

“Rahmat ini meliputi bukan sahaja manusia, tetapi juga haiwan, hutan dan alam sekitar, demi memelihara keseimbangan ciptaan Allah.

“Islam juga berbicara tentang ta‘aruf iaitu bukan sekadar toleransi, tetapi satu bentuk kefahaman mendalam yang lahir daripada proses mengenali, menghargai, dan menerima perbezaan.

“Melalui ilmu dan keterlibatanlah kita benar-benar dapat mengenali antara satu sama lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast