Gambar hiasan

TOKYO – Toyota Motor Corp. mencatatkan rekod tertinggi jualan dan pengeluaran globalnya bagi bulan Julai dipacu permintaan kukuh di luar negara walaupun terkesan dengan tarif kereta Amerika Syarikat yang lebih tinggi.

Jualan global meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun kepada 899,449 kenderaan pada Julai, meningkat untuk bulan ketujuh berturut-turut.

Manakala pengeluaran melonjak 5.3 peratus daripada tahun sebelumnya kepada 846,771 unit, kata pengeluar kereta itu.

Mengikut wilayah, pengeluaran di Amerika Syarikat meningkat 28.5 peratus kepada 95,145 unit berikutan permintaan yang kukuh.

Di China, pengeluaran naik 17.1 peratus kepada 135,235 unit apabila model kenderaan elektrik baharu menarik pelanggan.

Awal bulan ini, pengeluar kereta terbesar dunia itu telah menurunkan unjuran keuntungan bersihnya bagi tahun fiskal semasa sehingga Mac 2026, dengan menjangkakan penurunan 44.2 peratus kepada 2.66 trilion yen (kira-kira AS$18 bilion) kerana tarif kereta Amerika Syarikat yang lebih tinggi dijangka mengatasi usaha pemotongan kos dan lain-lain langkah.

Jepun dan Amerika Syarikat telah mencapai perjanjian perdagangan yang akan menetapkan tarif ke atas kereta Jepun pada kadar 15 peratus, lebih rendah daripada 27.5 peratus ketika ini tetapi lebih tinggi berbanding kadar 2.5 peratus yang dikenakan sebelum Presiden Donald Trump memperkenalkan duti khusus sektor itu pada bulan April.

Setakat ini masih belum jelas bila kadar baharu itu akan berkuat kuasa. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast