JOHOR BAHRU – Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor mendesak kerajaan negeri dan Persekutuan segera mengumumkan satu pelan tindakan menyeluruh dalam menghadapi bencana alam susulan beberapa gempa bumi lemah di negeri ini.
Ketuanya, Alias Rasman berkata, walaupun gegaran yang berlaku berskala kecil, perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan dan amat memerlukan tindakan segera dan menyeluruh.
“Rakyat berhak merasa selamat di bumi sendiri. Kejadian sebegini menimbulkan kebimbangan, apatah lagi ia berulang dalam masa singkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Armada Johor menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif termasuk melibatkan pakar geologi dan seismologi bagi memahami punca.
Jelasnya, ini termasuk kaedah mitigasi, selain memperkukuhkan sistem amaran awal serta kempen kesedaran awam.
Katanya, kesejahteraan rakyat bergantung kepada keseimbangan dengan alam sekitar dan isyarat kecil daripada bumi tidak boleh dipandang ringan.
Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 pada pukul 4.24 pagi tadi.
Gegaran itu merupakan yang terbaharu selepas gegaran berlaku pada jam 7.56 malam tadi dengan magnitud 2.5.
Pada Rabu lalu, gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada jam 8.59 pagi di daerah ini dengan gegaran dilapor dirasai beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.
Sebelum itu, pada 24 Ogos lalu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di daerah ini pada pukul 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1.
Ini disusuli gegaran kedua pada pukul 9 pagi di Yong Peng, 28 kilometer (km) di barat laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.- MalaysiaGazette
















