KUALA LUMPUR – Penang FC mengumumkan kehadiran pemain pertahanan tengah import baharu, Obilor Faith Friday bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2025/2026.
Kelab itu berkata, pada musim 2024, berpengalaman dari Nigeria itu beraksi bersama PDRM FC dalam Liga Malaysia.
“Berusia 34 tahun dengan ketinggian 1.88 meter, Obilor telah melalui perjalanan karier yang panjang sejak bermula bersama Babanawa pada tahun 2009 sebelum berhijrah ke AmaZulu di Afrika Selatan.
“Beliau kemudian mencipta nama di Finland apabila menyertai PS Kemi, diikuti RoPS di mana beliau membuat lebih 100 penampilan serta menyumbang lima gol.
“Pada tahun 2016, beliau menyarung jersi Inter Turku sebelum menyertai gergasi Finland, HJK Helsinki, dengan catatan 76 penampilan dan tiga jaringan antara 2017 hingga 2019.
“Selepas itu, Obilor melebarkan sayap ke Eropah Timur dengan bersama Sheriff Tiraspol di Moldova pada 2020 sebelum meneruskan karier di Kazakhstan bersama Taraz dan Aksu,” tulis Penang FC di hantaran Facebook rasmi miliknya di sini hari ini.
Kelab itu yakin, dengan pengalaman luas yang dimilikinya, kehadiran Obilor diyakini akan memperkukuh barisan pertahanan Harimau Kumbang dalam menghadapi cabaran sengit Liga Super Malaysia 2025-2026. – MalaysiaGazette















