Dr Ahmad Parveez Ghulam

KUALA LUMPUR – Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bakal menampilkan pendekatan lebih menyeluruh menerusi penganjuran empat persidangan serentak berkaitan industri dan komoditi eksport negara itu.

PIPOC 2025 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan membawa Persidangan Pertanian, Bioteknologi dan Kemampanan; Pengilangan, Pemprosesan dan Penapisan Bio; Hiliran dan Penambahan Nilai; serta Ekonomi Global dan Pemasaran.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, PIPOC 2025 mahu berkongsi maklumat terkini penyelidikan dan kemajuan industri sawit menerusi penyertaan pakar dan penggiat industri dari seluruh dunia itu yang bertemakan “Mentransformasi Hari Ini Memperkasa Masa Hadapan Melalui Inovasi”.

“PIPOC 2025 juga berhasrat untuk mengangkat semangat kerjasama global dalam meneroka penyelesaian inovatif serta dasar mampan demi masa depan industri sawit yang berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dianjurkan secara dwitahunan, PIPOC 2025 yang akan berlangsung pada 18 hingga 20 November depan menjangkakan penyertaan lebih 100 penceramah dan 200 pembentang poster.

Seramai 2,000 delegasi dalam dan luar negara hadir berkongsi kepakaran, penemuan penyelidikan, inovasi teknologi dan strategi mampan yang selari dengan landskap semasa industri.

Antara tokoh yang akan menyertai PIPOC 2025 ialah Dr. Ravigadevi Sambanthamurthi, mantan Pengarah Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak Baka MPOB yang juga Felo Persatuan Diraja (Royal Society), United Kingdom.

Turut sama tokoh berpengalaman luas industri sawit, Tan Sri Lee Oi Hian, Pengerusi Eksekutif Kuala Kumpur Kepong (KLK) Berhad yang dikenali atas kepemimpinan strategiknya dalam memacu pertumbuhan KLK pada peringkat global dengan menyampaikan ucaptama sesi Kuliah Henri Fauconnier.

Ahmad Parveez berkata, PIPOC 2025 juga akan membawakan pameran berskala besar untuk para pengunjung secara percuma dengan himpunan lebih 400 pempamer dari dalam dan luar negara.

Mereka dijangka menampilkan inovasi, produk baharu dan teknologi terkini yang merangkumi sektor huluan, hiliran, oleokimia, logistik, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi pertanian, jelas beliau.

Kongres dan pameran ini juga katanya, akan menyediakan platform strategik bagi memupuk rangkaian perniagaan, perkongsian ilmu dan kerjasama antara penggiat industri, pelabur, pembeli dan penyelidik.

“Turut ditawarkannya ialah pelbagai peluang penajaan dan pakej pengiklanan untuk organisasi yang ingin merebut peluang promosi dan meluaskan pengaruh jenama dalam komuniti industri global.

“PIPOC 2025 turut mampu memperkukuh daya saing, keterhubungan, dan kepemimpinan Malaysia dalam landskap global industri sawit,” ujar Ahmad Parveez.

Penyertaan peserta kini dibuka dengan kadar istimewa untuk pemegang lesen MPOB, pembentang dan pakej pendaftaran berkumpulan.

Bersempenanya juga, MPOB akan menganjurkan Kejohanan Golf PIPOC 2025 dan mengatur lawatan teknikal ke ladang sawit dan pusat penyelidikan terpilih bagi memberi pendedahan kepada peserta berkenaan kemajuan dan operasi industri sawit Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast