BANGKOK – Mahkamah Perlembagaan Thailand memecat Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dan Kabinetnya pada Jumaat susulan tindakannya menangani pertikaian sempadan negara itu dengan Kemboja hingga mencetuskan kekacauan politik di negara tersebut.
Paetongtarn, anak perempuan kepada bekas perdana menteri jutawan Thaksin Shinawatra, telah digantung daripada jawatan bulan lalu selepas dituduh gagal mempertahankan Thailand dalam satu panggilan telefon pada bulan Jun dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, yang kemudian dibocorkan dalam talian.
Panel sembilan hakim memutuskan dengan undian enam lawan tiga bahawa beliau tidak mengekalkan standard etika yang diperlukan sebagai seorang perdana menteri dan menyingkirkannya daripada jawatan, mendorong Thailand ke ambang krisis politik, tanpa calon jelas untuk mengetuai gabungan rapuh yang memerintah parlimen.
“Tindakannya telah menyebabkan hilangnya kepercayaan, mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kepentingan negara, yang menimbulkan kecurigaan umum bahawa beliau berpihak kepada Kemboja dan mengurangkan keyakinan rakyat Thailand terhadapnya sebagai Perdana Menteri.
“Defendan tidak mengekalkan kod etika. Tempoh beliau sebagai perdana menteri secara rasmi berakhir dengan penggantungan pada 1 Julai,” menurut keputusan yang dibacakan oleh salah seorang hakim.
Keputusan itu, yang turut membubarkan kabinet Paetongtarn, setahun selepas mahkamah sama menyingkirkan pendahulunya, Srettha Thavisin, dalam kes etika yang tidak berkaitan. – Agensi
















