Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua kiri), Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua kanan) dan Naib Pengerusi Eksekutif AZRB, Datuk Seri Wan Zakariah Wan Muda (kiri) ketika merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen 1: Persimpangan Bertingkat Sg Long - Persimpangan Bertingkat Ampang di Plaza Tol Ampang, Lebuhraya EKVE. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 OGOS 2025

AMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat miskin terus hidup dalam kediaman lama yang usang, sempit dan tidak selamat pada masa kini.

Berucap di majlis perasmian pembukaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen 1 dari Sungai Long ke Ampang petang ini, beliau menekankan perumahan rakyat adalah tanggungjawab asas kerajaan.

“Kita tidak boleh menutup mata terhadap realiti bahawa masih ramai keluarga Melayu, Cina dan India hidup dalam keadaan amat daif. Ada yang bertahan di rumah lama kerana bimbang hanya ditawarkan flat kecil atau tidak yakin dengan jaminan kerajaan.

“Saya faham keresahan itu. Tetapi kerajaan tidak boleh membiarkan mereka terus hidup dalam rumah yang retak, sempit dan tidak selamat,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan mesti berani membuat keputusan termasuk menyediakan rumah baharu secara percuma dengan pampasan adil, demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen 1: Persimpangan Bertingkat Sg Long – Persimpangan Bertingkat Ampang di Plaza Tol Ampang, Lebuhraya EKVE. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 OGOS 2025

“Saya tidak mahu hanya kerana segelintir menolak, ratusan keluarga lain terpaksa terperangkap dalam keadaan perumahan yang tidak manusiawi.

”Undang-undang baharu diperlukan bukan untuk memperkayakan pemimpin, tetapi untuk memberi keselesaan dan maruah kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau menegaskan pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui projek mega semata-mata, sebaliknya mesti selari dengan peningkatan kualiti hidup rakyat terbanyak.

“Malaysia tidak boleh membina menara pencakar langit, lapangan terbang besar dan projek mega sedangkan rakyat bawahan dibiarkan tinggal di rumah usang yang hampir roboh.

Itu tidak adil. Tanggungjawab kerajaan ialah memastikan pembangunan negara memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya diikuti tepukan gemuruh.

Menjawab soalan media berhubung Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (URA) yang sedang dibentangkan dalam Parlimen, Anwar  menolak dakwaan kononnya RUU itu mengundang risiko demografi atau menguntungkan pihak tertentu.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia bertujuan memastikan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana mendapat rumah lebih selesa.

“Kita akan pertahan kepentingan semua kaum dalam pembangunan, terutama M40, B40 dan mereka yang miskin Melayu ramai, India ada, malah ada juga kawasan Cina yang miskin. Hal-hal begini yang kita beri tumpuan,” tegasnya.

Anwar turut menyentuh isu ambang persetujuan 80 peratus yang dicadangkan dalam RUU tersebut.

“Dasar kita jelas, jika 80 peratus penduduk bersetuju dengan projek penempatan semula, kita tidak boleh membiarkan 20 peratus menghalang kemajuan majoriti.

“Tetapi dalam masa sama, mereka yang berpindah mesti diberi rumah yang selesa, pampasan sewajarnya dan jaminan keselamatan sosial,” katanya lagi.

Beliau sekali lagi mengingatkan wakil rakyat tidak boleh bercakap hanya atas dasar teori, sebaliknya perlu turun padang melihat sendiri kesusahan rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast