GEORGE TOWN – Bebanan hutang pinjaman bank dan ansuran e-dagang dipercayai punca pergaduhan sehingga seorang guru lelaki bertindak mengelar isterinya dalam kejadian di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, di sini, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal pihak polis mendapati suspek berusia 30 tahun yang juga seorang guru itu membuat pinjaman bank untuk pelaburan saham selain pembayaran ansuran barangan yang dibeli melalui platform e-dagang.
“Setakat ini hasil siasatan mendapati punca pergaduhan pasangan itu disebab hutang namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Dakwaan suspek mempunyai hutang dengan ahlong itu tidak benar sebaliknya, dia membuat pinjaman dengan institusi kewangan yang sah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut berhubung perkembangan keadaan mangsa dan suspek, Sazalee berkata, mangsa berusia 28 tahun itu kini masih dalam tempoh pemulihan dan tidak boleh banyak bercakap, namun polis sudah mengambil keterangannya berhubung kejadian berkenaan semalam.
“Manakala suspek pula masih ditempatkan di Wad Psikiatri Jalan Perak untuk pemeriksaan kesihatan mental,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita nyaris maut selepas ditikam suaminya yang juga seorang guru dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda di sini.
Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya. – MalaysiaGazette

















Bank pun mcm Ah Long…selalu call dan desak bertalu2 walaupun bayaran ansuran dibuat tanpa culas..selain itu bank juga sering sebarkan no telefon customers kpd pihak ketiga sesuka hati utk promosi produk..perangai bank ini memberikan tekanan mental kepada pelanggan..tu yg ramai bunuh diri atau membunuh org…
Itulah kesan bilamana hukum Allah swt berkaitan riba dipermainkan oleh bank islam