KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti terlebih dahulu laporan bedah siasat kedua Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin sebelum memutuskan untuk menjalankan inkues menyiasat punca kematiannya.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya perlu meneliti laporan menyeluruh siasatan kes tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.
Sehubungan itu, beliau akan meminta laporan lengkap dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kadar segera dengan mengambil kira segala aspek siasatan.
“Kami kena teliti dulu siasatan menyeluruh kes ini dan hasil laporan post mortem (bedah siasat),” ujarnya ringkas kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan peguam keluarga Syamsul Haris, Datuk Naran Singh agar inkues dimulakan segera bagi menyiasat kematian Allahyarham ekoran kecederaan yang mencurigakan pada tubuhnya selepas bedah siasat kedua dijalankan hari ini.
Prosedur bedah siasat pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor itu dijalankan selama tujuh jam bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.
Terdahulu, Naran memberitahu pihak media, beliau memohon Peguam Negara menjawab permohonan inkues pada Selasa ini dan sekiranya tidak dilaksanakan, peguam akan mengemukakan permohonan kali kedua di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pada 25 Ogos lalu, Ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun,45, memfailkan afidavit baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyokong permohonan notis usul supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, 29 Julai lalu. – MalaysiaGazette
















