Anggota bomba mengeluarkan mangsa wanita Orang Asli yang terperosok di bawah lori dalam kejadian kemalangan di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands berhampiran Jalan Kampung Pos Slim di sini pada Sabtu. Foto JBPM Perak

IPOH – Seorang wanita orang asli maut selepas terperosok di bawah lori apabila kenderaan tersebut telah terbabas dan melanggar sebuah gerai di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands berhampiran Jalan Kampung Pos Slim di sini pada Sabtu.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, seorang lagi wanita Orang Asli berusia 26 tahun yang turut berada di gerai tersebut mengalami kecederaan di bahagian muka dan kaki.

Menurutnya, pemandu lori terbabit yang berusia 47 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 3.16 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) serta mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas (air lifting bags).

“Mangsa berusia 54 tahun itu disahkan maut oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.30 petang. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast