Md Israk Abdullah

JOHOR BAHARU – UMNO Johor mendesak Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (RUU URA) diperhalusi semula kerana bimbang akan ada unsur pilih kuasa dan salah guna kuasa sehingga menafikan suara golongan minoriti.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, RUU URA dilihat berisiko menafikan hak rakyat menentukan masa depan rumah serta harta mereka sendiri.

“UMNO Johor mendesak kerajaan Persekutuan mengambil langkah memperhalusi dan mengadakan libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pakar undang-undang dan rakyat.

“RUU URA dalam bentuk semasa amat membimbangkan kerana memberi kuasa terlalu luas dan hampir mutlak kepada menteri daripada mengawal jawatankuasa eksekutif, menentukan pemaju hingga mengetepikan peranan kerajaan negeri dan PBT.

“Kuasa luar biasa ini bukan sahaja membuka ruang pilih kasih dan salah guna kuasa, malah berisiko menafikan hak rakyat untuk menentukan masa depan rumah serta harta mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, RUU URA 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Ia bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.

UMNO Johor berpandangan bahawa sebarang usaha pembaharuan undang-undang mesti berpaksikan kepada prinsip keadilan, keterbukaan dan keutamaan rakyat, tidak hanya mengikut kehendak segelintir pihak berkepentingan.

“Ambang persetujuan yang dicadangkan dalam RUU URA jelas menimbulkan kebimbangan kerana berpotensi menekan hak pemilik yang tidak bersetuju dan hal ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Johor menyatakan sokongan penuh dan penghargaan kepada pendirian tegas Pengerusi, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta Ahli-Ahli Parlimen BN yang telah menolak RUU URA dalam sidang Parlimen baru-baru ini.

Pendirian tersebut, ujarnya, jelas menunjukkan BN konsisten mempertahankan hak rakyat khususnya pemilik tanah dan hartanah.

Tambahnya, pendirian itu agar tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencerobohan hak milik atau tekanan yang boleh menafikan suara golongan minoriti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast