GEORGE TOWN – Seorang kerani pejabat insurans kerugian RM601,850 selepas wang lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket phone scam yang menyamar polis.
Wanita berusia 61 tahun itu dikatakan mula terjerat selepas menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai bank yang memaklumkan bahawa terdapat orang lain yang menggunakan kad kredit atas nama wanita itu baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa telah menafikan dakwaan itu sebelum panggilan disambungkan kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Katanya, suspek meminta butiran diri mangsa untuk semakan lanjut dan kemudiannya memaklumkan bahawa mangsa didapati terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
“Suspek telah meminta semua maklumat akaun bank mangsa yang masih aktif sebelum mengarahkan wanita itu membuat pemindahan wang ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan.
“Susulan itu mangsa telah membuat 14 kali transaksi pemindahan wang berjumlah RM601,850 ke dalam empat akaun bank tempatan dalam tempoh 14 sehingga 28 Ogos lalu.
“Wanita itu hanya menyedari dia ditipu setelah memaklumkan perkata itu kepada anak perempuannya sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Azizee menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan telefon mencurigakan terutamanya yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette
















