Mohamad Nasmir (berdiri kiri) menghidangkan minuman percuma kepada pelanggan di Restoran Nasi Kandar Nasmir di Batu Kawan, Pulau Pinang.

BATU KAWAN – Sebanyak 5,200 gelas pelbagai jenis minuman diberikan secara percuma kepada pelanggan Restoran Nasi Kandar Nasmir dalam tempoh 24 jam sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, menjadikan inisiatif itu antara yang paling mendapat perhatian penggemar nasi kandar di sini.

Program khas bermula  7 pagi 31 Ogos hingga 7 pagi Isnin itu memberi peluang kepada setiap pelanggan yang menjamu selera sama ada memilih nasi kandar, roti canai atau menu lain untuk menikmati minuman kegemaran tanpa sebarang bayaran tambahan.

Pengarah Restoran Nasi Kandar Nasmir, Mohamad Nasmir Khadar Shah berkata, jumlah pemberian minuman percuma itu melangkaui jangkaan awal pihaknya dan menggambarkan sambutan luar biasa masyarakat terhadap usaha kecil mereka sempena sambutan Merdeka ke-68.

“Syukur alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan. Ini kali pertama kami anjurkan program seumpama ini dan tidak sangka dapat rai pelanggan dan masyarakat dengan lebih 5,000 gelas minuman secara percuma.

“Antara pilihan paling laris ialah Milo ais, teh ais dan Nescafe ais,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Mohd Nasmir, pemberian minuman percuma bukan sekadar simbol penghargaan kepada pelanggan setia yang selama ini menyokong perniagaan mereka namun meraikan Hari Merdeka bersama masyrakat setempat.

Jelasnya, nasi kandar sememangnya sinonim dengan masyarakat majmuk di Malaysia dan restoran itu sendiri menjadi ruang pertemuan pelbagai bangsa.

“Tujuan utama kami ialah berkongsi rezeki sempena Hari Merdeka. Restoran ini tidak akan sampai ke tahap sekarang tanpa pelanggan yang sentiasa bersama kami, jadi inilah cara kami membalas jasa mereka.

“Pelanggan kami datang daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain. Di meja yang sama, kita boleh lihat mereka berkongsi hidangan nasi kandar. Itulah semangat sebenar merdeka perpaduan melalui makanan,” katanya.

Suasana meriah sepanjang program itu bukan sahaja menghangatkan sambutan kemerdekaan, malah mengukuhkan peranan nasi kandar sebagai salah satu ikon penyatuan masyarakat di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast