Produk PRISTIN palsu (kanan) dan yang asli sebelah kiri.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati membeli suplemen kesihatan dalam talian selepas syarikat pengeluar minyak ikan jenama PRISTIN mendedahkan wujud produk tiruan meniru namanya yang dijual secara meluas di beberapa platform e-dagang pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran.

Pengasas PRISTIN, Datuk Dr Rajen Manicka berkata, pihaknya mula mengesyaki perkara itu selepas menerima beberapa aduan daripada pengguna dua minggu lalu.

Bagi mendapatkan kepastian, syarikatnya membeli sendiri produk berkenaan yang ditawarkan pada harga RM38 sedangkan harga asal produk sebenar berada antara RM74 hingga RM101.

Produk itu kemudian dihantar ke makmal untuk analisis kandungan.

“Hasil ujian benar-benar mengejutkan kerana kapsul berkenaan langsung tidak mengandungi minyak ikan.

“Sebaliknya, ia berisi minyak susu soya yang mempunyai kandungan toksin tinggi. Jika diambil terlalu lama, ia boleh menyebabkan keradangan, kolesterol dan kanser,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengasas PRISTIN, Datuk Dr Rajen Manicka

Lebih membimbangkan, Dr Rajen mendedahkan produk tiruan tersebut turut dipasarkan lengkap dengan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau menjelaskan,  produk asli PRISTIN sememangnya disahkan halal oleh JAKIM namun peniruan logo pada produk palsu itu jelas menimbulkan keraguan besar.

Menurutnya, pembungkusan produk tiruan itu kelihatan sangat mirip dengan yang asli mendakwa ia dihasilkan oleh pihak yang cukup berpengalaman dan bukan operasi kecil.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat dan aduan rasmi turut dikemukakan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil selain kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Dalam kenyataannya, PRISTIN menegaskan, penjualan suplemen tiruan bukan sekadar isu persaingan perniagaan tetapi merupakan ancaman kesihatan awam yang serius.

Produk tiruan tidak melalui kawalan kualiti ketat dan tidak menepati piawaian keselamatan seperti produk asli sekaligus berisiko tinggi memudaratkan kesihatan pengguna.

Tindakan lebih tegas dan pantas perlu diambil kerana isu produk kesihatan tiruan boleh menghakis kepercayaan pengguna terhadap jenama sah di pasaran selain mendedahkan orang ramai kepada bahaya yang tidak disedari.

Dr Rajen menambah, platform e-dagang juga tidak boleh lepas tangan dan perlu memainkan peranan lebih besar dalam membanteras penjualan produk tiruan.

Katanya, syarikat e-dagang mesti memperkukuh proses pengesahan penjual, menolak penyenaraian palsu dan bertindak segera apabila menerima laporan berhubung penjualan barangan tidak sah.

Beliau menegaskan, tindakan lambat hanya akan membuka ruang lebih luas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menipu pengguna.

Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan pengguna agar tidak mengambil risiko dengan membeli minyak ikan melalui saluran tidak rasmi di internet.

“Saya berharap orang ramai tidak lagi membeli produk minyak ikan dari platform e-dagang kerana kita tidak tahu kandungannya atau dari mana ia datang.

“Untuk keselamatan, dapatkan hanya dari farmasi di seluruh negara atau kedai rasmi seperti Watsons dan Guardian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast