KUALA LUMPUR – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang baru diluluskan di Parlimen sebagai langkah mundur yang bercanggah dengan prinsip reformasi serta membuka ruang luas kepada salah guna kuasa.
Ahli Jawatankuasa Jabatan Komunikasi & Media Baharu Armada, Adham Zahyn berkata, walaupun kerajaan mendakwa RUU itu sebagai sebahagian daripada agenda penambahbaikan tadbir urus kewangan, hakikatnya beberapa peruntukan utama jelas memberikan kuasa mutlak kepada Menteri Kewangan.
Katanya, keadaan itu tidak hanya bercanggah dengan semangat ketelusan malah boleh membuka pintu kepada amalan kronisme dan rasuah.
Menurut Adham, antara perkara yang membimbangkan adalah kuasa penuh yang diberi kepada Menteri Kewangan untuk menentukan kaedah perolehan di luar kerangka berdaya saing serta membenarkan pengecualian khas bagi peruntukan kepada syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun.
Beliau juga menegaskan bahawa Seksyen 12(8) memberikan kuasa mutlak kepada menteri sekiranya badan perolehan gagal mencapai keputusan sebulat suara dengan meminggirkan pandangan pakar.
“Lebih merisaukan, bagi perolehan bernilai RM50 juta ke atas, Menteri Kewangan atau Ketua Menteri menjadi pihak berkuasa tunggal membuat keputusan. Walaupun mereka perlu mendengar cadangan badan perolehan, kuasa muktamad masih berada dalam tangan mereka.
“Ini membuktikan RUU ini tidak bertujuan memperkukuh sistem, sebaliknya membenarkan campur tangan politik dalam proses perolehan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
RUU Perolehan Kerajaan 2025 diluluskan pada Khamis lalu melalui undi belah bahagian dengan 125 ahli parlimen menyokong manakala 63 menentang.
Ia antara lain memperkenalkan Tribunal Rayuan Perolehan serta panel kajian semula sebagai mekanisme semak dan imbang selain memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pihak yang melanggar undang-undang, termasuk denda minimum tiga kali nilai kontrak atau RM1 juta, serta hukuman penjara sehingga lima tahun.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan bahawa RUU tersebut adalah permulaan reformasi dalam tadbir urus kewangan negara manakala Kementerian Kewangan menafikan ia memberi lebih kuasa kepada menteri sebaliknya memperjelaskan prosedur dan memperkenalkan standard yang seragam.
Namun, Adham berpendapat kelulusan yang dibuat secara tergesa-gesa itu menunjukkan kerajaan tidak bersedia membahaskannya secara teliti.
Beliau menegaskan RUU berkenaan dalam bentuknya sekarang adalah pengkhianatan terhadap janji reformasi yang dilaungkan kepada rakyat.
“Jika dibiarkan, ia akan menjadi alat untuk menjustifikasikan amalan tidak telus serta membolehkan salah guna kuasa berleluasa. Kami menggesa kerajaan segera meneliti semula dan meminda peruntukan yang memberi kuasa terlalu besar kepada seorang menteri,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















