Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

PUTRAJAYA – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan akan meneliti terlebih dahulu cadangan transformasi Tabung Haji (TH) daripada sebuah institusi simpanan patuh syariah kepada sebuah institusi pelaburan Islam yang lebih dinamik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, pihaknya akan meminta pengurusan TH untuk memberikan taklimat berhubung perkara itu sebelum membentangkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Perdana Menteri berhubung  hala tuju dan panduan berkenaan perkara tersebut.

“Perdana Menteri sememangnya sangat prihatin dengan TH dan apa pun akan rujuk kepada beliau terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Dr Zulkifli Hasan; Yang Dipertua Yadim, Datuk Dr Hasan Bahrom; Timbalannya, Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin dan  Ketua Pegawai Eksekutif, Zamri Zainal Abidin.

Pada majlis itu seramai 20 kakitangan daripada tujuh kategori perkhidmatan yang diraikan menerima sijil penghargaan, wang tunai dan bar emas sebagai simbol pengiktirafan terhadap usaha gigih serta komitmen mereka.

Mohd Na’im berkata demikian bagi menjawab laporan  sebuah akhbar tempatan yang melaporkan TH sedang mengkaji secara serius untuk meminda Akta Tabung Haji 1995 sebagai sebahagian daripada langkah transformasinya –  berubah daripada sebuah institusi simpanan syariah kepada sebuah institusi pelaburan Islam.

Pengerusi Kumpulan TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, perbincangan mengenai keperluan untuk mengubah akta itu sedang giat dijalankan bagi memastikan model perniagaan TH kekal mampan dan relevan pada masa hadapan.

Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, pihaknya akan memberi sokongan mengenai perkara itu, namun, langkah yang akan diambil nanti mestilah menjamin kepentingan TH dan juga pendeposit .

Katanya, ia adalah asas kepada dasar yang wajib dipatuhi oleh TH dan yakin dengan usaha kepimpinan agensi berkenaan dalam menguruskan perkara berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast