KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak menjual hak konsesi lebuh raya.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau menganggapnya soalah-olah sandiwara untuk mengaburi rakyat kerana penjualan aset bernilai berbilion ringgit, khususnya yang berkait dengan hak konsesi lebuh raya bertol lazimnya mendapat pandangan dan kebenaran Perdana Menteri terlebih dahulu.
“Jika tidak mendapat restu atau persetujuan beliau, bagaimana mungkin pengumuman boleh dibuat secara terburu-buru tanpa kelulusan lembaga pengarah?” soalnya.
Sebagai rekod, PNB juga baru-baru ini mengesahkan sedang mengadakan perbincangan awal dengan beberapa pihak berhubung lebuh raya yang dimiliki anak syarikatnya, Prolintas Holdings Sdn. Bhd.
Walaupun PNB menyatakan ia hanya peringkat awal rundingan dan belum membuat sebarang keputusan.
Kemudian Anwar baru-baru ini berkata, PNB tidak seharusnya meneruskan proses semakan strategik terhadap kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) jika ia menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit.
Menurutnya, syarikat pengurusan pelaburan milik kerajaan itu tidak seharusnya meneruskan semakan berkenaan jika ia juga memberi kesan negatif kepada usaha PNB menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Ujar Anwar, beliau mengambil maklum mengenai semakan strategik oleh PNB terhadap pelaburannya dalam kumpulan PROLINTAS, seperti yang dilaporkan media semalam.
Mengulas lanjut, Dominic menerusi kenyataan menambah, meskipun PNB mempunyai autonomi dan hak membuat keputusan berhubung sebarang pelupusan aset atau rancangan pelaburan, namun sudah tentu perlu melibatkan persetujuan kerajaan terlebih dahulu apatah lagi melibatkan perkara yang besar.
“Anwar sudah beberapa kali melakukan perkara yang sama mula-mula menyokong sesuatu rancangan atau dasar kemudian tampil sebagai ‘wira’.
“Jika Perdana Menteri benar-benar berpendapat penjualan lebuh raya ini akan menjejaskan kepentingan negara dan bumiputera, beliau sepatutnya berunding dengan PNB dan lembaga pengarah terlebih dahulu.
“Bagaimana boleh berlaku keputusan besar tanpa kelulusan beliau?” soalnya lagi.-MalaysiaGazette
















