FB Hannah Yeoh

SEPANG – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan kejayaan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang masing-masing meraih pingat emas dan perak pada Kejohanan Dunia membuktikan keberkesanan program Road To Gold (RTG).

Beliau berkata pelaburan yang dibuat kerajaan bukanlah satu pembaziran, sebaliknya memberikan hasil yang berbaloi buat arena sukan di Malaysia.

“Untuk RTG, setiap atlet akan tandatangan kontrak bagi komitmen mereka kepada negara kerana ini ialah pelaburan negara. Jadi, dalam empat bulan sahaja kita boleh lihat kemenangan itu.

“Kejayaan ini merupakan satu kejayaan besar untuk RTG kerana program ini telah melaburkan dana kepada keempat-empat atlet ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah diberi sambutan wira selepas berjaya menyumbangkan pingat buat Malaysia pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas kejayaan Tang-Jie-Ee Wei, Hannah memuji kebangkitan yang ditampilkan pasangan itu yang sebelum ini mengumumkan perpisahan pada April lepas.

Katanya, pasangan itu kini wajar melihat diri mereka sebagai satu daripada gergasi selepas berjaya meraih pingat emas pada kejohanan dunia.

“Ada kalanya ketabahan akan membawa anda kepada kejayaan seterusnya. Saya sangat gembira mereka teruskan usaha sejak April sehingga sekarang dan mereka tidak berputus asa,” katanya.

Dalam masa sama, Hannah turut memuji usaha beregu wanita Pearly-Thinaah yang membawa pulang pingat perak.

“Mereka telah memberikan inspirasi kepada ramai pemain wanita di Malaysia. Mereka telah mengubah imaginasi kepada realiti dan kejayaan ini satu pencapaian yang hebat,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata kedua-dua pasangan berkenaan layak mendapat insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan pemenang pingat emas bakal mendapat habuan berjumlah RM20,000 manakala perak sebanyak RM10,000.

“Saya juga telah berbincang dengan Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk pemberian SHAKAM tambahan. Pengumuman itu akan dibuat kemudian,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast