PAGOH – Sebanyak 12 kontinjen dengan lebih 500 peserta berkampung di Stadium Gunasama Hab Pendidikan Pagoh, Muar seawal pukul 8
pagi bagi memeriahkan perarakan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Bertemakan ‘Jiwa Merdeka,’ perarakan tersebut disempurnakan oleh Datuk Seri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.
Program perarakan anjuran Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat itu menyaksikan Kontigen Pejabat Pengurusan Makmal Kampus Pagoh meraih gelaran ‘Juara’ bagi kategori staf, manakala Kontinjen Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) bergelar Naib Juara.
Sementara itu, Kontigen Jabatan Kejuruteraan Mekanikal meraih gelaran Juara bagi kategori pelajar, manakala Kontigen Jabatan Sains dan Matematik pula meraih gelaran Naib Juara.
Ibrahim dalam ucapannya berkata, universiti turut melibatkan pelajar dalam penganjuran kali ini bagi menyemai semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda.
Menurut beliau, UTHM sentiasa menyokong usaha untuk membangun bakat pelajar bagi melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan bersedia menghadapi cabaran alaf 21.
“Usaha ini antara yang terkandung dalam modul GRITT yang mewakili lima nilai yang diterapkan dalam pembentukan DNA Kecemerlangan Mahasiswa iaitu Global, Resilience, Innovative, Trustworthy dan Talent.
“Modul tersebut dibangunkan bagi membentuk mahasiswa yang berciri holistik dan global seiring dengan hala tuju UTHM ke arah Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030),” katanya.
Beliau turut menyeru warga universiti untuk memperkukuhkan lagi semangat perpaduan bagi mewujudkan suasana kampus yang harmoni.
Ini kerana perpaduan adalah asas kekuatan sesebuah negara; apabila kita bersatu hati tanpa mengira perbezaan, kemajuan dan keharmonian pasti dapat dikecapi bersama, tambah beliau. – MalaysiaGazette
















