ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki menyangkakan sudah ‘selamat’ selepas mencuri satu televisyen di sebuah pasar raya di kawawan Mutiara Rini di sini pada 27 Julai lalu.
Bagaimanapun kelegaan dirasakan suspek tidak bertahan lama apabila diberkas di sekitar kawasan Tampoi pada pukul 12.15 tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian tersebut dilaporkan pukul 7.59 malam pada 27 Julai lalu.
“Polis menerima laporan kehilangan televisyen daripada seorang lelaki berusia 50 tahun yang juga merupakan penyelia pengawal keselamatan di pasar raya berkenaan.
“Bertindak atas maklumat pihak polis berjaya menahan suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Hasil semakan mendapati suspek memiliki 10 rekod lampau berkait dengan jenayah dan dadah namun ujian saringan awal air kencingnya didapati negatif dadah.
Selain menahan suspek polis turut berjaya merampas sebuah televisyen bersaiz 55 inci yang berharga RM1,700 serta sebuah beg silang.
Kumarasan memberitahu, suspek kini ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari mulai semalam hingga Khamis ini.
Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan juga boleh didenda, katanya..- MalaysiaGazette
















