Fasiliti kesihatan primer dan hospital KKM berada pada tahap kesiapsiagaan optimum dengan tenaga kerja, peralatan dan logistik yang mencukupi.

Oleh: Dr. Shahrul Nizam Bin Ahmad Zamzali

PENDERAAN kanak-kanak adalah antara isu yang paling mencabar untuk dihadapi oleh ibu bapa dan penjaga. Ia sering berlaku secara senyap kerana kanak-kanak terlalu takut, malu, atau diugut untuk bersuara. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk lebih peka dan mengenali tanda-tanda awal penderaan. Sebagai seorang Pakar Perubatan Kecemasan, saya telah menyaksikan bagaimana pengesanan awal dan intervensi segera dapat menyelamatkan kanak-kanak daripada kesan buruk yang berpanjangan.

Tanda fizikal yang perlu diperhatikan

1. Lebam atau kecederaan tanpa penjelasan
• Lebam di kawasan yang jarang terdedah seperti belakang badan, paha, lengan atas atau belakang telinga bukanlah kecederaan biasa daripada aktiviti kanak-kanak.
• Kecederaan dengan bentuk yang jelas seperti kesan tali pinggang, tapak tangan atau lebam berbentuk garis boleh menandakan penderaan.
• “Kemalangan” yang berlaku berulang kali dengan alasan yang tidak masuk akal perlu diberi perhatian. Jika cerita tidak sepadan dengan umur atau tahap perkembangan anak—seperti bayi dikatakan jatuh basikal—ia boleh menjadi tanda amaran.

2. Kesan melecur
• Melecur akibat rokok berbentuk bulat kecil, lambat sembuh dan amat menyakitkan. Ia jarang sekali berlaku secara tidak sengaja.
• Melecur dengan bentuk tertentu seperti seterika atau alatan panas menimbulkan syak kerana kebakaran tidak sengaja biasanya tidak berbentuk
tetap.
• Melecur pada tangan atau kaki yang menyerupai “sarung tangan” atau “stoking” berlaku apabila anggota badan dicelup paksa ke dalam air panas. Ini hampir mustahil berlaku tanpa paksaan.

3. Patah atau retak tulang
• Patah tulang pada peringkat penyembuhan berbeza menandakan kecederaan berulang.
• Cedera yang tidak sepadan dengan aktiviti atau usia kanak-kanak, contohnya bayi dengan patah tulang berpusing tanpa sejarah kemalangan jelas, perlu disiasat.

4. Kecederaan kepala
• Bengkak atau luka pada kulit kepala atau muka tanpa penjelasan munasabah adalah tanda mencurigakan.
• Mata lebam di kedua-dua belah jarang berlaku akibat bermain.
• Kecederaan pada gigi seperti gigi patah tanpa sebab logik mungkin berpunca daripada hentakan terus ke muka.

5. Perubahan kesihatan fizikal
• Lawatan kerap ke klinik atau Jabatan Kecemasan dengan alasan kabur, terutamanya jika cerita penjaga berubah-ubah, adalah tanda bahaya.
• Tanda pengabaian seperti kanak-kanak yang kurang zat, tidak terurus, atau lambat membesar sering kali hadir bersama penderaan.
• Sakit berpanjangan tanpa sebab perubatan jelas juga boleh menandakan trauma tersembunyi. Kadang-kadang kanak-kanak mengadu “sakit badan”
tetapi pemeriksaan tidak menemui punca.

Peranan Jabatan Kecemasan
Jabatan Kecemasan sering menjadi tempat pertama penderaan kanak-kanak dikesan. Kanak-kanak dibawa dengan kecederaan, dan tugas kami adalah melihat
lebih daripada sekadar luka fizikal.

• Pola kecederaan adalah tanda bahaya – “Apabila seorang kanak-kanak dibawa berulang kali dengan kecederaan yang tidak sepadan dengan sejarah yang diberi, atau apabila penjaga berbeza memberi alasan bercanggah, kami mula mengesyaki penderaan,” jelas Dr. Shahrul Nizam.

• Dokumentasi sangat penting – Setiap lebam, luka atau patah direkodkan secara terperinci, termasuk dengan gambar jika perlu. Rekod ini penting bukan sahaja untuk rawatan, malah boleh menjadi bukti dalam siasatan.

• Pendekatan multidisiplin – Doktor kecemasan tidak bekerja bersendirian. Pakar kanak-kanak, pakar bedah, pakar obstetrik & ginekologi, pekerja sosial dan juga pihak polis boleh dilibatkan sekiranya penderaan disyaki. Pendekatan ini memastikan keselamatan kanak-kanak sepanjang rawatan dan selepasnya.

• Rawatan segera dan perlindungan – Selain merawat kecederaan, Jabatan Kecemasan juga memastikan kanak-kanak tidak dilepaskan kembali ke persekitaran yang berbahaya. Bagi kes yang hadir ke hospital swasta, kanak-kanak akan dirujuk ke hospital kerajaan selepas rawatan awal diberikan.

Apa yang perlu dilakukan
Jika anda mengesyaki seorang kanak-kanak sedang didera, tindakan anda boleh menjadi penyelamat.

• Bertenang dan Perhati dengan Teliti – Catatkan kecederaan, lokasi dan corak yang anda lihat.
• Dekati dengan Lembut – Yakinkan anak bahawa mereka selamat bersama anda. Elakkan memaksa mereka bercerita kerana ia boleh menambah trauma.
• Lapor dengan Segera – Di Malaysia, talian Talian Kasih 15999 beroperasi 24 jam untuk membantu. Melapor bukanlah mengganggu—ia boleh menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak.
• Dapatkan Rawatan Perubatan – Jika terdapat kecederaan, bawa anak ke Jabatan Kecemasan. Doktor dilatih untuk mengenal pasti tanda penderaan,
memberikan rawatan, serta mengaktifkan prosedur perlindungan.

Pesanan akhir daripada Dr. Shahrul Nizam
“Jabatan Kecemasan sering menjadi tempat di mana penderaan tersembunyi akhirnya terbongkar. Jika anda ragu-ragu, jangan tunggu—bawa mereka untuk
diperiksa. Lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian. Peka dengan tanda-tanda yang telah disebutkan. Keselamatan mereka adalah tanggungjawab kita semua. Bersama-sama, kita mampu melindungi mereka”.

Penulis merupakan Pakar Perunding, Perubatan Kecemasan Hospital Pakar Ampang Puteri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast