KUALA LUMPUR – Sehingga kini, tiada pelajar Malaysia yang terlibat dengan rusuhan di Indonesia yang berlaku sejak minggu lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai keadaan semasa di negara tersebut.
“Setakat ini, alhamdulillah kita tidak mendapat sebarang berita-berita yang melibatkan pelajar Malaysia (terlibat rusuhan) di sana.
“Namun kita terus memantau kerana kesannya bukan hanya di Jakarta tapi juga melibatkan daerah-daerah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran buku dan penubuhan Institute of Internationalization and Asean Studies (INTAS), bersempena dengan Seminar Antarabangsa mengenai Masa Depan ASEAN: Mengemudi Regionalisme, Rekonsiliasi dan Pendekatan Semula di sini hari ini.
Jelas Zambry, KPT menerusi pihak Education Malaysia (EM) sentiasa berhubung dengan pelajar Malaysia yang berada di sana untuk memberi peringatan supaya tidak terlibat dengan rusuhan dan sentiasa berwaspada.
“Pihak EM sentiasa berhubung dengan mereka menyampaikan maklumat kepada mereka untuk memastikan mereka tidak berada di kawasan-kawasan yang terlibat,” tambahnya.
Menurut Zambry, setakat ini, lebih 1,200 rakyat Malaysia yang melanjutkan pelajaran di negara tersebut.
Sementara itu, beliau berharap Indonesia akan kembali aman dan tenteram agar rakyatnya boleh meneruskan hidup dengan baik.
“Saya percaya pihak Indonesia akan mengambil segala langkah bagi memastikan kejadian-kejadian seperti ini tidak berpanjangan dan saya percaya dengan kepimpinan pemerintah Indonesia, mereka akan melakukan yang terbaik untuk mengatasi perkara ini,” katanya lagi.
Sebagai rekod, sejak 25 Ogos lalu Indonesia ‘panas’ apabila beberapa siri rusuhan berlaku di beberapa kawasan tumpuan.
Rusuhan dipercayai bermula dengan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kenaikan gaji ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dinaikkan dan demonstrasi berlaku di beberapa lokasi sekitar Jakarta termasuk di hadapan bangunan DPR.
Turut dirosakkan, kemudahan awam seperti hentian bas TransJakarta dan stesen MRT Jakarta.- MalaysiaGazette
















