Zambry (tengah) melakukan gimik Penutupan Program Digital Innovation Creativepreneur 3.0 (DICE 3.0) di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membawa pulang mahasiswa Malaysia di Indonesia sekiranya rusuhan di Indonesia semakin meruncing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu sedang ditimbangkan namun dimaklumkan ketika ini keadaan demonstrasi di negara berkenaan masih terkawal dan stabil.

Jelasnya, KPKT bersama-sama Kementerian Luar mengikuti secara langsung perkembangan terkini dan maklum balas keadaan di negara itu daripada wakil Malaysia iaitu Education Malaysia Indonesia (EMI).

“Jadi, kalau keadaan (rusuhan di Indonesia) meruncing, maka sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk mengambil langkah-langkah proaktif.

“Malah, pada ketika ini pun sebenarnya kita membuat pemantauan dan bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi memastikan sebarang kejadian yang mungkin akan memudaratkan pelajar-pelajar kita, maka langkah-langkah segera akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Digital Innovation Creativepreneur 3.0 (DICE 3.0) di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Fadzli Adam.

Kelmarin, media melaporkan, Polis Metropolitan Jakarta (Polda Metro Jaya) menahan 1,240 individu terbabit dalam tindakan rusuhan yang berlangsung di sekitar bandar raya itu sejak 25 Ogos lalu.

Demonstrasi minggu lalu di beberapa lokasi sekitar Jakarta termasuk di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat bertukar menjadi kecoh, apabila individu tidak bertanggungjawab dilaporkan merosakkan kemudahan awam seperti hentian bas TransJakarta dan stesen MRT Jakarta.

Kerajaan Wilayah Jakarta turut merekodkan kerugian akibat kerosakan infrastruktur di beberapa kawasan, yang dianggarkan mencecah Rp55 bilion (kira-kira RM15.2 juta.

Menurut Zambry, ketika ini terdapat lebih 1,200 pelajar Malaysia di seluruh negara berkenaan termasuk di Jakarta, Sumatera dan Pulau Jawa.

Pihaknya ujar beliau, akan terus memantau secara dekat situasi di Indonesia sebelum mengambil sebarang tindakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast