Mohamad Daniel Haziq ketika menyertai pertandingan kategori Hafazan 30 Juzuk dalam Pertandingan Hafazan al-Quran Antarabangsa Ke-45 di Mekah. - Foto: Laman web UTM

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohamad Daniel Haziq Haswadi melakar sejarah membanggakan selepas  berjaya mara sebagai finalis dalam Pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa sempena 45th King Abdul Aziz International Quran Competition for Memorization and Recitation.

Pertandingan itu berlangsung di Masjidil Haram, Mekah dari 7 hingga 21 Ogos lalu.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik itu yang mewakili Malaysia bagi kategori Hafazan 30 Juzuk al-Quran tampil cemerlang sepanjang peringkat saringan dengan hafazan yang lancar, tepat dan penuh penghayatan.

Persembahan tersebut melayakkan beliau ke peringkat akhir, sekali gus mengangkat martabat Malaysia di pentas dunia.

Pencapaian itu juga melengkapkan rekod konsisten Mohamad Daniel Haziq di peringkat antarabangsa selepas meraih tempat ketiga dunia dalam pertandingan hafazan di Türkiye (Oktober 2024) dan tempat keenam dunia di Mesir (Disember 2024).

Sebagai wakil tunggal Malaysia, Mohamad Daniel Haziq menerima hadiah finalis berupa wang tunai 5,000 Riyal Arab Saudi; sebuah beg bagasi; sepasang jubah serta mushaf al-Quran.

Pertandingan edisi tahun ini menghimpunkan 189 huffaz terbaik dunia, dengan kejuaraan dimenangi peserta dari Yaman, diikuti Chad, Senegal, Amerika Syarikat (AS) dan Palestin.

Sementara itu, Mohamad Daniel Haziq berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang membawa nama Malaysia ke Mekah dalam pertandingan tersebut.

“Walaupun tidak meraih kemenangan, pengalaman menjadi finalis di pentas antarabangsa ini adalah nikmat besar yang menambah semangat saya untuk terus memperjuangkan kalamullah,” ujar beliau seperti dipetik menerusi laman web news.utm.my.

Sementara itu, penyelaras program Tekno Hafiz, Panji Alam Mazhisham menzahirkan rasa bangga atas pencapaian Mohamad Daniel Haziq yang disifatkan lambang mahasiswa holistik yang menjadi teras UTM dalam membina generasi ilmuwan berakhlak dan berdaya saing global.

“Mohamad Daniel Haziq membuktikan bahawa kecemerlangan bukan hanya pada gred akademik semata-mata, tetapi juga pada nilai diri, keperibadian dan sumbangan kepada masyarakat.

“Kejayaan beliau adalah kejayaan seluruh warga UTM dan negara,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu juga selari dengan komitmen UTM untuk membangunkan bakat pelajar secara menyeluruh, menyemai nilai adab dan integriti dalam kalangan mahasiswa serta memperkukuh penghayatan ilmu berteraskan nilai sejagat, bertepatan dengan kerangka Malaysia Madani.

Katanya, seluruh warga UTM dan rakyat Malaysia menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Mohamad Daniel Haziq atas kejayaan itu, yang bukan sahaja mengharumkan nama universiti, bahkan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mendalami al-Quran di samping mencapai kejayaan akademik yang gemilang.

“Semoga pencapaian ini menjadi pembuka jalan kepada lebih ramai mahasiswa Malaysia untuk memartabatkan al-Quran di persada dunia, dan terus menyumbang ke arah pembangunan ummah dengan ilmu, nilai dan integriti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast