JOHOR BAHRU – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan dera anak tirinya berusia enam tahun di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 2, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamed Ra’id Taqiuddin Ismail, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak lelaki itu telah menganiayai mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di PPR Melana Indah Fasa 2 antara pukul 8 hingga 9 malam, pada 24 Ogos lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta yang sama.
Lelaki itu boleh dikenakan dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Sebagai tambahan, tertuduh diperintahkan supaya menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan mencadangkan kepada Mahkamah jaminan dikenakan kepada tertuduh berjumlah RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada Mahkamah.
Hakim membenarkan lelaki itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada Mahkamah dan tidak boleh menghubungi dan mendekati mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh untuk melantik peguam dan menetapkan tarikh 30 September ini sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Dalam mahkamah berasingan, isteri tertuduh, Nurul Haslina Abd Rahim, 32, turut berdepan pertuduhan membenarkan anak kandungnya itu dianiaya suaminya.
Bagaimanapun, suri rumah itu tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi perbuatan itu, wanita itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.
Bharathi memohon jaminan yang rendah buat anak guamnya memandangkan dia tidak bekerja dan mempunyai tanggungan lima anak berusia 3, 6, 9, 11 dan 13 tahun selain pendapatan suami yang bekerja sendiri sebanyak RM1,500 sebulan.
Hakim menggunakan budi bicaranya membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport ke Mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.- MalaysiaGazette
















