BANGI – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh mengakui sedih selepas melihat keadaan tilam pelajar yang didakwa sudah terlalu usang di kolej kediaman universiti itu.
Katanya, lawatan yang dibuat ke beberapa kolej kediaman baru-baru ini benar-benar membuka matanya terhadap cabaran kebajikan pelajar yang masih perlu ditangani pihak pengurusan.
Justeru itu, UKM akan memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara, termasuk penyediaan kemudahan asas yang lebih baik di kolej kediaman.
“Antara cabaran terbesar, saya telah melawat beberapa kolej kediaman. Saya rasa kesedihan yang melampau. Saya cabar tuan-tuan pergi tengok, rasa macam mana kita sanggup biarkan anak-anak kita yang masih belajar di universiti ini tidur di atas tilam yang hitam,” katanya.
Katanya dalam program Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM, hari ini.
Sufian berkata, aspek kemudahan asas termasuk penginapan pelajar tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan terus kepada pencapaian akademik mereka.
“Saya tak sanggup, jadi kita harus menyediakan kemudahan. Walaupun fokus kita terhadap kempen digitalisasi dan sebagainya, tetapi kita harus pulang ke landasan yang benar dan itu merupakan kemudahan terbaik untuk keluarga dan warga kita,” katanya.
Menurut beliau, isu kesihatan pelajar turut berkait rapat dengan keadaan asrama yang tidak sempurna dan boleh mengundang masalah lebih besar.
“Kalau pelajar kita dengan sakit kulit, kita pun letih nak menjawab. Jadi kita harus elakkan. Kalau tak sihat, saya rasa pengarah universiti itu sakit kepala juga menjawab banyak masalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















