Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Lanjan melakukan persiapan dengan menanyam daun nipah untuk dijadikan hiasan dewan sempena Hari Pemilihan Tok Batin ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Damansara, Selangor. Foto SADIQ SANI, 27 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Semakan semula Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) perlu melibatkan usaha menangani dan langkah untuk meningkatkan sosioekonomi komuniti tersebut.

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Alexander Lo Su Hyen berkata pembangunan dan kemajuan ekonomi masyarakat itu perlu terus diutamakan.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu mengambil pendekatan progresif bagi menambah baik perlindungan hak dan darjat komuniti tersebut.

“Dalam pameran ‘Imagining Malaysia in 2050’, anak muda Orang Asli menggunakan seni dan video untuk menyuarakan aspirasi serta visi mereka terhadap masa depan negara,” katanya menerusi kenyataan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, telah mengumumkan hasrat kerajaan untuk menyemak semula Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Perkara itu turut disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Sementara itu Alexander berkata, kerajaan perlu menjadikan negara-negara maju seperti Australia, New Zealand dan Canada sebagai contoh kerana mengiktiraf masyarakat asal mereka sebagai ‘First Peoples’ sekaligus mengangkat darjat komuniti berkenaan.

“Istilah ini amat penting kerana ia mengiktiraf komuniti asal sebagai penjaga tanah yang sah, dengan hak, pengiktirafan, dan budaya tersendiri,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan supaya kerajaan mengadakan rundingan bersama pakar dan organisasi yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas berkenaan komuniti Orang Asli, seperti “Center for Orang Asli Concerns”.

“Ini akan memastikan reformasi yang dibuat bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar membawa perubahan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast