BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) komited untuk terus mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama universiti selain memperkukuh peranan institusi itu dalam melahirkan generasi pemimpin negara menjelang 2057.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata sejak penubuhan universiti itu pada 1970, identiti kebangsaan telah menjadi asas perjuangan, sekali gus membezakan UKM dengan universiti lain.
“Kalau untuk menjadi profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia, mesti boleh mengajar, berkomunikasi dan menulis buku dalam bahasa Melayu. Jangan malu dan jangan segan untuk mempromosikan serta mempertahankan bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada program Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM, hari ini.
Menurut Sufian, UKM bukan sahaja berperanan sebagai institusi ilmu, malah perlu melahirkan generasi yang mampu memimpin negara ke arah kecemerlangan menjelang ulang tahun ke-100 kemerdekaan Malaysia pada 2057.
“Cabaran kita hari ini adalah untuk menentukan generasi 2057. Adakah mereka akan berbangga sebagai satu generasi yang mampu menghantar manusia ke bulan atau hanya generasi yang mencari makan di jalanan?,” katanya.
Ujar Dr. Sufian lagi, UKM berhasrat melahirkan pemimpin yang berpegang kepada nilai iman, ilmu dan amal sebagai asas pembangunan negara yang berterusan.
“Jadi pada tahun 2057, kita ingin melahirkan generasi pemimpin negara yang sentiasa ingat bahawa mereka mendukung aspirasi negara kita pada masa itu.
“Ramai orang sekarang hanya melihat tanpa membaca. Kita mahu pelajar UKM mengamalkan iman, ilmu dan amal sebagai kekuatan dalam UKM,” ujarnya.
Beliau menekankan keperluan UKM untuk terus memperbaiki kesejahteraan pelajar, meningkatkan kompetensi staf, memacu inovasi serta memperkukuh kolaborasi dalam dan luar negara sebagai cabaran universiti pada masa hadapan.
“Semua ini adalah selaras dengan aspirasi menjadikan UKM sebuah institusi unggul yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















