Mohd Fared beramah mesra dengan penuntut selepas merasmikan Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Timur Tengah Tahun 2025 di Eco Galleria, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI– Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sedang menimbang pemberian bantuan kepada pelajar anak Johor bagi melanjutkan pengajian di Maghribi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ketika ini hanya empat pelajar Johor berada di Maghribi mengambil jurusan syariah.

“Walaupun jumlahnya kecil mereka tetap diberikan perhatian dan dibenarkan membuat permohonan bantuan tambang kapal terbang maksimum RM3,000.

“Walaupun tumpuan utama kita di Mesir dan Jordan kerana jumlah pelajar ramai, pelajar Johor di Maghribi juga berhak dipertimbangkan.

“Saya minta kumpulan pelajar menulis kepada MAINJ untuk menyatakan bentuk bantuan yang sesuai diberikan kepada mereka di sana nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Timur Tengah Tahun 2025 di Dewan Bizmillla, di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat MAIJ, Datuk Dr Nooh Gadot.

Menurutnya, MAIJ memberi keutamaan kepada Mesir dan Jordan kerana jumlah pelajar yang tinggi sehingga mendorong pembelian bangunan di Mesir bagi menempatkan mereka.

“Bagaimanapun, kita tidak mengetepikan pelajar di negara lain. Selepas ini, MAINJ akan terus membuat kajian lokasi pengajian mereka bagi menentukan bentuk bantuan bersesuaian.

“Selagi terbukti tempat pengajian itu berlandaskan akidah yang baik dan sesuai dengan pegangan kita di Johor serta Malaysia, insya-Allah kita akan melawat serta menilai bantuan yang boleh disalurkan,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu pihaknya turut menziarahi pelajar Johor di Turki meskipun hanya terdapat hanya enam orang di sana.

Sementara itu, Mohd Fared menasihatkan pelajar dan ibu bapa supaya mendapatkan nasihat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sebelum memilih universiti di luar negara kerana terdapat beberapa institusi pengajian agama yang tidak diiktiraf.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast