PORT DICKSON – Dua kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam Sungai Linggi berhampiran Jambatan Tanjung Agas, Teluk Kemang, Negeri Sembilan di sini hari ini.
Komander Operasi Kanan Pegawai Penguasa Bomba Zulfadli Osman berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan jalan raya pada pukul 11.44 pagi.
“Sebaik tiba didapati ada kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Teana telah terjatuh ke dalam sungai. Terdapat empat orang mangsa iaitu pasangan suami isteri serta dua lagi mangsa kanak-kanak iaitu lelaki berusia enam tahun dan perempuan lapan tahun,” katanya.
Pasangan suami isteri diselamatkan oleh orang awam.
Sementara itu, orang ramai dilihat mengerumuni kawasan nahas sebelum dua mangsa kanak-kanak berjaya ditemukan pasukan bomba pada pukul 1.50 petang tadi.
Difahamkan, jenazah akan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette
















