Azmi Alang

KUALA LUMPUR – Kandungan surat layang yang mengaitkan nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta dakwaan wujudnya ‘broker’ dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan soal integriti kepimpinan parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Tawar, Azmi Alang berkata, dakwaan yang dibuat dalam surat tersebut adalah serius dan perlu disiasat secara menyeluruh oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

“Semasa YB Wan Ahmad Fayhsal mendedahkan kandungan surat layang berkaitan penjualan saham MAHB, isu pokok yang dibangkitkan adalah mengenai kandungan surat tersebut, bukan siapa penulisnya. Rakyat mahu tahu kebenaran.

“Begitu juga dengan isu ‘broker’ dalam parti. Ini adalah isu yang amat serius dan tidak boleh ditolak mentah-mentah hanya kerana ia datang daripada surat layang. Ia menyentuh soal kepentingan dan maruah parti,” katanya yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tasek Gelugor dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, siasatan yang telus dan menyeluruh oleh MPT bukan sahaja mampu merungkai kebenaran, malah dapat membersihkan nama Hamzah sekiranya tuduhan itu tidak berasas.

“Jika MPT menyiasat dan tuduhan itu terbukti tidak benar, maka nama YB Datuk Seri Hamzah akan bersih dan tidak timbul lagi soal broker dan pengkhianat. Parti akan menjadi lebih kuat.

“Tetapi jika memang wujud broker dalam parti, ahli perlu tahu siapa dia dan apa yang telah dilakukan. Jika ia satu bentuk pengkhianatan, tindakan tegas mesti diambil oleh MPT dan Lembaga Disiplin,” ujarnya.

Tambah beliau, ahli-ahli Bersatu kini mahu melihat ketelusan dan keadilan dalam menangani isu yang boleh mencemarkan nama baik parti itu.

“Broker dan pengkhianat tidak boleh dibiarkan terus berada dalam parti. Mereka ini boleh merosakkan dan menggagalkan perjuangan parti dari dalam,” katanya.

Isu mengenai surat layang yang tular baru-baru ini mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan ahli dan penyokong Bersatu apabila ia menyentuh peranan seorang pemimpin utama serta kemungkinan kewujudan individu yang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast