Seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Singapura dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman didenda RM1,800 terhadap seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Singapura atas tuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan warga Nepal, Ahad lalu.

Majistret Atifah Hazimah Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, S Jacson Raj, 38, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Sunar Bal Krishna, 44, di hadapan pondok pengawal keselamatan sebuah apartment di Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini pukul 1 petang, 31 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, Nurul Hidayah Mohammad Asri memohon mahkamah memberikan denda mininum terhadap tertuduh kerana dia mempunyai tanggungan isteri, dua anak serta ibu bapa dengan pendapatan SGD2,000 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan mengambilkira kecederaan dialami mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda itu dan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan hendaklah dihukum penjara empat bulan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian berlaku perselisihan faham antara tertuduh dengan mangsa menyebabkan mangsa dipukul dan cedera.

Isnin lalu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, lelaki itu datang ke lokasi kejadian dengan menaiki motosikal dan hendak memasuki lorong pelawat tanpa kad akses.

Dilaporkan, mangsa kemudian menahannya dan akibat tidak berpuas hati, dia mengambil batu-bata lalu mengetuk kepala mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast