MUAR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menerima laporan psikiatri Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 32, yang didakwa mengelar isterinya sebelum membakar sembilan kenderaan milik arwah dan abang iparnya, tiga bulan lalu.
Laporan tersebut diserahkan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi kepada Hakim Sayani Mohd Nor dan menyatakan mengesahkan bahawa tertuduh layak dibicarakan serta memberi pengakuan di mahkamah.
Dalam prosiding berkenaan, tertuduh yang sebelum ini membuat pengakuan bersalah terhadap enam daripada sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan telah menukar pengakuan kepada tidak bersalah.
Berdasarkan semua pertuduhan, dia didakwa membakar sembilan kenderaan masing-masing dua buah pacuan empat roda dan empat motosikal selain sebuah kenderaan ulititi sukan (SUV) dan dua kereta.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong dan Kebun Durian Kampung Teratai 2, Sagil antara pukul 4.36 hingga 6.46 pagi, pada 3 Jun lalu.
Dalam hujah pendakwaan, Diyana memohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen dan lantikan peguam, selain memaklumkan tertuduh tidak dibenarkan untuk dijamin susulan mempunyai pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 2 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.
Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak bagi sebutan semula kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 6 Oktober ini ditetapkan bagi serahan laporan forensik. – MalaysiaGazette
















