Kredit JBPM

MELAKA – Sebuah gudang menyimpan bateri lama di Kawasan Perindustrian Tanjung Minyak di sini terbakar tengah hari tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu Ahmad Nyat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.49 tengah hari sebelum menggerakkan pasukan untuk operasi pemadaman.

“Kebakaran melibatkan keluasan 50 x 50 kaki persegi daripada keseluruhan gudang berukuran 150 x 150 kaki persegi dengan anggaran 60 peratus kemusnahan dan difahamkan gudang itu sebelum ini telah disita Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Beberapa letupan kecil turut berlaku di lokasi namun tiada mangsa dilaporkan manakala kebakaran berjaya dikawal pada 2.58 petang dan operasi tamat kira-kira 6.51 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad berkata sebanyak 26 anggota dengan kekuatan lima jentera dikejarkan ke lokasi dengan bantuan BBP Cheng, Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bahan terbakar ialah bateri yang mengandungi bahan kimia sangat reaktif terhadap air, menyebabkan pasukan bomba melaksanakan kaedah bagi mengelakkan tindak balas berbahaya.

Katanya cabaran utama adalah semasa proses ‘overhaul’ kerana dikhuatiri wujud gas berbahaya tidak dikenal pasti.

“Pasukan HAZMAT dan CBRNe (kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan) dikerahkan untuk membantu dengan menggunakan teknologi pengesanan jarak jauh,” katanya

Menurutnya pihak bomba mengesan gas ammonia dan semua anggota diarahkan memakai alat pernafasan semasa operasi.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast