@malaysiagazette Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima panggilan dari orang awam berhubung kejadian (1) lelaki tidak dikenali berada di atas bumbung rumah sambil memegang sebilah pisau di sebuah kawasan perumahan di Semenyih. Pihak Polis dengan dibantu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat telah hadir ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut. Setelah hampir 4 jam usaha memujuk saspek berkenaan dibuat, akhirnya saspek yang hanya memakai seluar pendek tanpa baju itu berjaya ditahan di tempat kejadian bersama rampasan sebilah pisau. Hasil pemeriksaan awal, lelaki tempatan yang berusia 48 tahun tersebut dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan telah dibawa dan dirujuk kepada pihak Hospital Kajang bagi tindakan selanjutnya. PDRM FaktaKes
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun selepas empat jam memujuknya turun dari bumbung sebuah rumah dalam kejadian di Semenyih, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 8.50 malam mengenai seorang lelaki tidak dikenali yang berada di atas bumbung rumah kawasan perumahan berkenaan.
Susulan menerima panggilan, pihaknya dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi sebelum berjaya menahan suspek yang hanya memakai seluar pendek tanpa baju bersama rampasan sebilah pisau pada ketika itu.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki tempatan tersebut dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan telah dirujuk ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut.
“Semakan lanjut mendapati suspek memiliki 26 rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.
“Dia juga dipercayai bukan berasal dari kawasan Semenyih dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, kes juga akan disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohamad Khairie Ridhwan Azmi di talian 011-36307974. – MalaysiaGazette















