Sultan Selangor dan bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam.

 

KUALA LUMPUR – Sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar mengingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad tetapi lebih penting untuk meneladani akhlak, peribadi dan perjuangan Rasulullah SAW.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan terbaik dalam semua aspek kehidupan termasuk sebagai seorang pemimpin, pendidik, suami, bapa, dan juga sahabat.

Lantaran itu, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam agar menjadikan akhlak Rasulullah sebagai panduan.

“Dalam suasana dunia yang penuh cabaran hari ini, umat Islam harus kembali kepada ajaran Rasulullah SAW dengan menghidupkan sunnah Rasulullah dalam keluarga, masyarakat dan negara.

“Hormatilah sesama insan, jauhilah perpecahan, dan semaikanlah kasih sayang serta persaudaraan,” titah baginda yang bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam.

Baginda berkata, semoga dengan mencontohi peribadi Rasulullah SAW, kita menjadi umat yang berakhlak mulia, beriman teguh dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan negara.

Sultan Selangor turut menitipkan pesanan agar memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai tanda cinta dan penghormatan kepada baginda.

“Mudah-mudahan Allah S.W.T. mengurniakan kita syafaat baginda di hari akhirat kelak.Salam Maulidur Rasul,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast