KUALA LUMPUR – Rezab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pahang serta Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir di Sarawak diiktiraf sebagai Kawasan ASEAN Heritage Parks (AHP).
Keputusan yang bermakna ini telah dicapai secara sebulat suara semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Alam Sekitar ke-18 (AMME-18) di Langkawi yang dipengerusikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada 3 September lalu.
Mesyuarat turut mengiktiraf tiga tapak baharu di Vietnam iaitu Xuan Thuy National Park, Pu Mat National Park dan Dong Nai Culture and Nature Reserve.
Pengiktirafan yang diterima oleh Malaysia ini menambah bilangan kawasan AHP sedia ada di negara ini iaitu Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Taman Negara Kinabalu, Sabah; Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu) pada tahun 1984; serta Taman Negara Johor Endau Rompin pada 2022.
AHP merupakan inisiatif ASEAN yang menekankan pemuliharaan biodiversiti, ekosistem unik dan khazanah alam sekitar rantau ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, dengan pengiktirafan ini, Malaysia bukan sahaja mengukuhkan usaha konservasi di peringkat nasional, malah memperkukuh Kerjasama serantau dalam aspek teknikal, penyelidikan, serta perkongsian amalan terbaik.
Pengiktirafan ini juga menyokong Tindakan 8.5, Sasaran 8, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022–2030, iaitu memperkasakan usaha mendapatkan pengiktirafan Kawasan berkepentingan antarabangsa bagi pemuliharaan kepelbagaian biologi.
“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam selaku national focal point kepada program AHP merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan Pahang dan Sarawak di atas kejayaan ini. Kejayaan inimenunjukkan usaha kolaboratif semua pihak khususnya pihak berkuasa kawasan perlindungan yang berkaitan iaitu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Pencapaian ini amat bermakna bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, sekaligus menyerlahkan kepimpinan Malaysia untuk terus menerajui
agenda biodiversiti serantau,” katanya sambil menyambut baik sebarang usaha yang diambil oleh kerajaan-kerajaan Negeri pada masa akan datang untuk mencalonkan kawasan-kawasan yang berpotensi sebagai tapak AHP atau tapak-tapakberkepentingan biodiversiti antarabangsa seperti Ramsar, Man and the Biosphere (MAB) dan East Asian-Australasian Flyway Partnership (EAAFP).
Dengan pengiktirafan ini, Malaysia yakin ia akan meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa, memperkukuh kerjasama ASEAN dalam bidang biodiversiti dan memastikan warisan alam semula jadi terus dilindungi untuk generasi akan datang, tambahnya. – MalaysiaGazette
















