NILAI – IDEAS Autism Centre dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) telah menganjurkan Sambutan Hari Kemerdekaan Ideas Autism Centre bertempat di Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM baru-baru ini.
Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, USIM sentiasa bertekad untuk menyokong inisiatif yang bersifat inklusif dan memandang tinggi usaha murni memperkasa komuniti OKU khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan bakat dan aktiviti kemasyarakatan.
“USIM mengiktiraf peranan NGO seperti Ideas Autism Centre yang menjadi penggerak utama dalam menyantuni anak-anak istimewa ini.
“Justeru, kerjasama erat di antara USIM dan NGO sentiasa diperkukuh melalui perkongsian kepakaran akademik, penglibatan sukarelawan mahasiswa, program kesedaran masyarakat serta sokongan sumber yang mampu memperkasa komuniti sasaran,” ujar beliau.
Tunku Pro-Canselor USIM, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz berkenan mencemar duli ke program tersebut.
Majlis ini turut menyaksikan Pelancaran Buku Model Pengajaran dan Pembelajaran Quran Bagi OKU yang telah dilancarkan oleh Tunku Zain Al-‘Abidin.
Buku tersebut merupakan hasil penyelidikan Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Pembangunan model ini telah dibangunkan oleh kumpulan penyelidik yang terdiri daripada USIM, Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
IDEAS Autism Centre (IAC) ditubuhkan pada tahun 2012 di Rawang, Selangor, oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Berhad.
IDEAS menyediakan rawatan pemulihan bagi mereka yang memerlukan, dan pada masa yang sama menjalankan penyelidikan serta mengembangkan model perusahaan sosial lestari yang dapat dicontohi bagi membantu kanak-kanak autism.
















