SHAH ALAM – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi peringatan keras kepada ahli dan kepimpinan parti supaya menghentikan budaya surat layang serta amalan cucuk mencucuk yang boleh merosakkan parti dari dalam.
Tegasnya, budaya tidak sihat itu hanya menimbulkan keretakan dalaman, sekali gus membuka ruang kepada musuh politik untuk mengambil kesempatan melemahkan parti itu sendiri yang akhirnya mereka sendiri.
“Kita hadapi apa pun cabaran bersama-sama. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jangan sesekali bawa masuk budaya yang boleh merosakkan parti ini, kita tidak ada budaya surat layang, tidak ada cucuk mencucuk. Ingatlah, ini keluarga besar kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Sayap-Sayap Bersatu yang menghimpunkan kepimpinan sayap pemuda, wanita dan puteri dari seluruh negara hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah turut mengingatkan parti perlu sentiasa memperkukuh disiplin dan keutuhan dalaman kerana tanpa semangat setiakawan, perjuangan besar yang sedang digalas akan tergugat.
Isu berkenaan timbul selepas tersebar di media sosial dakwaan kononnya Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menjadi ‘broker’ dalam usaha menubuhkan Majlis Eksekutif Perikatan Nasional (PN).
Dakwaan itu mengaitkan langkah tersebut sebagai usaha menyingkirkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Muhyiddin menolak tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai helah pihak tertentu yang mahu memecahbelahkan parti.
Dalam ucapannya, Hamzah juga menekankan perjuangan Bersatu tidak boleh dilihat dari kaca mata sempit politik kepartian semata-mata, sebaliknya membawa misi lebih besar melibatkan masa depan umat dan negara.
“Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang bukan sekadar pertarungan biasa. Jika tersalah memilih pemimpin, maka ranaplah segala susah payah, jerih perih dan pengorbanan yang selama ini dicurahkan untuk mendaulatkan maruah bangsa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli-ahli agar tidak mengulangi kesilapan lalu, kerana masa depan negara bergantung kepada kebijaksanaan rakyat dalam menentukan kepimpinan.
“Jangan sampai terhantuk baru nak terngadah. Kita harus belajar daripada sejarah dan memastikan keputusan yang dibuat nanti benar-benar membawa kejayaan untuk bangsa dan negara,” tambahnya. -MalaysiaGazette















