Danish Hairudin
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang didakwa menunggang isu Palestin demi kepentingan politik sempit.

Menurut Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin, tindakan tersebut jelas membuktikan Papagomo hanyalah “barua politik” yang sanggup mengkhianati perjuangan rakyat Palestin semata-mata untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan tidak bermoral Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang sanggup menunggang isu Palestin demi agenda politik sempitnya.

“Tindakan itu adalah bukti nyata beliau hanyalah barua politik yang rela menjadi alat untuk memecahbelahkan rakyat, merosakkan perpaduan negara. Tindakan beliau ini jelas telah mengkhianati penderitaan rakyat Palestin,” katanya, hari ini.

Beliau turut mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Papagomo daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Akta Hasutan 1948 pada 2022.

“Keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk melepas dan membebaskan Papagomo daripada pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 bukanlah satu kemenangan mutlak. Jabatan Peguam Negara telah mengemukakan Notis Rayuan, dan ini bermakna beliau masih perlu berhadapan dengan proses undang-undang.

“Jangan bermimpi untuk mendabik dada seolah-olah dirinya telah suci bersih kerana perjalanan kes ini masih belum selesai,” tegasnya.

Menurut Danish, fitnah jahat Papagomo yang mendakwa Perdana Menteri pro-Israel adalah satu pembohongan besar yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Fakta membuktikan perdana menteri antara pemimpin dunia yang paling lantang menentang Israel di pentas antarabangsa. Malaysia di bawah kepimpinan beliau konsisten menyuarakan isu Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Malah Datuk Seri Anwar Ibrahim juga secara terbuka mengkritik kekejaman Israel melalui media antarabangsa,” katanya.

Danish menegaskan, Papagomo perlu berhenti menggunakan isu Palestin sebagai modal politik murahan dan menyifatkan sesiapa sahaja yang cuba memperalatkan isu itu untuk menyerang perdana menteri adalah “pengkhianat kepada perjuangan rakyat Palestin dan pengkhianat kepada solidariti rakyat Malaysia”.

Pada 3 September lalu, Papagomo dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas satu pertuduhan menyebut kata-kata menghasut antaranya mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan Barat dua tahun lalu.

Hakim, Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Wan Muhammad Azri, 42.

Pada 8 Januari 2024, lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Sir Azri didakwa menyebut kata-kata menghasut di Facebook atas nama Halid Hamidi (Halid Mat Kool) pada jam 1 petang 8 November 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast