Malaysia mempunyai sejarah panjang dalam industri unsur nadir bumi (REE). Pada awal 1980-an, penubuhan Malaysian Rare Earth Corporation (MAREC) dan Asian Rare Earth (ARE) di Perak menunjukkan potensi besar sektor ini, namun ditutup pada 1992 ekoran bantahan masyarakat tempatan terhadap sisa radioaktif selain dari akibat kos tinggi. Sensitiviti dan penolakan Masyarakat terus bertahan hingga kini.
Selepas hampir dua dekad, industri ini dihidupkan kembali apabila Lynas Malaysia beroperasi di Gebeng, Pahang. Walaupun berdepan kebimbangan radiasi, laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 2011 mengesahkan pematuhan keselamatan. Kini Lynas berkapasiti sekitar 22,000 tan setahun dengan eksport ke Asia, Eropah dan Amerika Syarikat, menjadikan pantai timur Malaysia sebahagian rantaian bekalan global. Disebalik status ini, isu pelesenan dan pengurusan sisa terus mencetuskan kontroversi awam.
Pahang di Kedudukan Strategik
Wacana nasional mengenai REE semakin rancak selepas pelancaran New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) yang menekankan pembangunan hiliran. Selaras itu, kerajaan melarang eksport REE mentah bagi menggalakkan penubuhan kilang pemprosesan domestik, seperti langkah Indonesia melarang eksport nikel. Tujuannya jelas: mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan nilai tambah dan memperkukuh ekonomi negara.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut menawarkan insentif pelaburan seperti pengecualian cukai separa lima tahun dan Investment Tax Allowance. Dalam konteks ini, Pahang berada di posisi strategik apabila Jabatan Mineral dan Geosains menganggarkan negeri ini memiliki 1.4 juta tan metrik REE, bersamaan 7.7% sumber nasional dengan nilai sekitar RM80 bilion. Jika dicampur dengan Terengganu dan Kelantan, hakikatnya pantai timur merupakan blok paling strategik, menguasai 67% sumber REE nasional.
Menyedari hakikat ini, Kerajaan Pahang mengambil langkah awal dengan meluluskan projek perintis perlombongan REE di Sungai Wang, Hulu Jelai, Lipis, di samping memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan. Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah pertama dengan meluluskan cadangan Projek Perintis Perlombongan REE seluas 220 hektar di Sungai Wang, Hulu Jelai, Lipis. Kerajaan negeri juga dalam peringkat pemurnian fasa akhir prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE Pahang yang diterajui oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang (PTG), Pahang Mining Corporation (PMC) sebelum diangkat untuk pertimbangan keputusan pihak berkuasa negeri.
Ditambah dengan kehadiran Lynas sebagai fasiliti pemprosesan REE terbesar di luar China, ia memberikan kelebihan kepada Pahang untuk menjadi hab REE serantau. Kehadiran Lynas di industri huluan ini sepatutnya diambil peluang oleh negeri untuk menjadikan Pahang sebagai pusat pemprosesan REE bertaraf antarabangsa. Cita- cita Pahang boleh digapai dengan adanya jalinan pengangkutan laut dan darat, iaitu zon Pelabuhan dan projek ECRL. Jika pembinaan LPT3 dapat direalisasikan, semestinya ia akan terus memacu industri REE di negeri Pahang.Malah cadangan kerjasama antara negeri SG4, dengan menubuhkan SG4 Sdn Bhd untuk membangunkan industri pertengahan dan hiliran REE akan turut memberi manfaat kepada Pahang jika kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan pihak tersebut. Kerjasama ini sudah semestinya mampu menjadikan zon pantai timur hab REE lengkap daripada huluan hingga hiliran, memberi limpahan ekonomi, peluang pekerjaan serta pemindahan teknologi.
Cabaran dan Risiko
Namun, setiap peluang hadir dengan risiko. Banyak deposit REE berada berhampiran kawasan hutan simpan. Ini dapat dilihat dari data yang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), iaitu 80% tapak REE berada di luar hutan simpan kekal. Dasar semasa tidak membenarkan perlombongan dalam hutan simpan kekal kecuali digazet semula, dengan syarat penggantian kawasan setara. NRECC menegaskan polisi tidak menyokong perlombongan dalam zon sensitif alam sekitar.
Secara teknikal, REE dilombong melalui kaedah in-situ leaching menggunakan ammonium sulfat dan asid. Jika tidak terkawal, ia boleh mencemarkan air, menjejaskan hidupan akuatik dan melarutkan mineral radioaktif. Pasaran global kini hanya menerima produk mematuhi piawaian Environmental, Social, and Governance (ESG). Oleh itu, pematuhan ketat kepada ESG wajib diperkukuh.
Isu perlombongan haram turut membimbangkan. Pahang pernah kehilangan hasil akibat pencerobohan tanah secara besar-besaran termasuk durian haram di hutan simpan. Jika REE pula dicuri, kerugian pasti lebih besar. Pada masa sama, Malaysia berdepan kekangan teknologi kerana China menguasai pemprosesan REE berat dan melarang eksport teknologinya. Lynas hanya memproses REE ringan, manakala kapasiti tempatan masih terbatas.
Hala Tuju Masa Depan
Bagi mengatasi cabaran, Pahang perlu menggubal Pelan Induk REE Negeri merangkumi garis panduan pengeluaran, kawalan alam sekitar, pembangunan kapasiti tempatan dan strategi sosio-ekonomi masyarakat setempat. Universiti serta pusat penyelidikan mesti dilibatkan untuk membina kepakaran, manakala pelaburan negeri harus memfokuskan hiliran seperti pembuatan bahan magnet dan teknologi hijau.
Dari sudut perundangan, Enakmen Mineral Negeri perlu dipinda dengan klausa khusus REE untuk melindungi hak negeri, menyelaras dasar dengan kerajaan Persekutuan, dan mewajibkan pemprosesan dalam negeri. Penetapan royalti berperingkat akan menjamin hasil stabil, di samping menarik pelabur dengan kerangka tadbir urus moden.
Kerajaan negeri juga perlu menekankan piawaian antarabangsa serta sistem pemantauan terbuka bagi meningkatkan kepercayaan awam. Dari sudut agihan hasil, Pahang berhak menuntut pulangan adil melalui rundingan dengan kerajaan Persekutuan, agar isu seperti royalti petroleum tidak berulang. Pemilihan pelabur juga mesti berasaskan komitmen terhadap teknologi, kelestarian dan pembangunan kapasiti tempatan.
Pahang Berada Pada Landasan Betul
Sebagai kesimpulannya, Pahang berada pada landasan terbaik untuk muncul sebagai hab REE serantau. Dengan sumber besar, fasiliti sedia ada dan dasar nasional yang menyokong hiliran, negeri ini mampu melonjak sebagai peneraju industri. Namun, kejayaan bergantung kepada kebijaksanaan mengimbangi kepentingan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar dan keadilan sosial. Jika diurus secara teliti, Pahang bukan sahaja dapat mengelakkan kesilapan lalu, tetapi juga menjadi model pengurusan mineral bertanggungjawab di rantau ini.
Mohamad Izzat Tuan Ibrahim (Sekretariat PN Pahang)
















