Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perhimpunan Agung Khas PPBM di Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ini dilihat penting kerana ia menjadi medan untuk menegaskan kedudukan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai peneraju utama parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata penganalisis politik.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata isu pencalonan calon perdana menteri daripada Bersatu tidak boleh dipandang enteng kerana ia berkait rapat dengan keyakinan akar umbi serta imej kepimpinan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Pada masa yang sama, wujud juga suara-suara, baik dari dalam mahupun luar parti, yang membayangkan keperluan tokoh alternatif untuk diangkat sebagai calon perdana menteri,” katanya.

Jelas Hisomudin lagi, beberapa kenyataan daripada pimpinan Pas sebelum ini juga dilihat seakan-akan memberi isyarat ke arah semakan semula kepimpinan dan strategi PN, yang secara tersirat menunjukkan keraguan terhadap Muhyiddin sebagai “poster boy” pilihan raya.

Hisommudin Bakar

 

Menurut Hisomudin, Bersatu perlu terlebih dahulu menyatakan dengan jelas pendirian mengenai siapa calon perdana menteri mereka, sebelum melangkah ke meja rundingan bersama sekutu dalam PN.

“Hanya selepas persoalan itu dijernihkan, barulah proses permuafakatan dan pengukuhan kerjasama antara parti dalam PN dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas dan strategik.

“Dalam konteks ini, usul calon perdana menteri dan usul memperkukuh kerjasama PN sebenarnya saling berkait,” ujarnya.

Tambah beliau, isu calon perdana menteri merupakan prasyarat utama untuk memastikan PN mampu menawarkan kepimpinan yang diyakini rakyat serta mengekalkan momentum politik menjelang PRU16.

PAT kali ke lapan Bersatu yang berlangsung pagi ini sehingga 7 September ini bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dengan tumpuan utama kepada hala tuju parti dan persiapan menghadapi PRU16. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast