Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar memaklumkan telah menghubungi sendiri Ustaz Wadi Annuar bagi mendapatkan pengesahan berhubung isu pembatalan ceramah pendakwah bebas itu di Masjid Sri Sendayan.

Tambahnya, beliau turut menghubungi pengerusi yang juga individu yang mewaqafkan masjid berkenaan, Tan Sri Rashid Hussain berkaitan isu tersebut.

“Ustaz Wadi Annuar dengan berlapang dada menerima undangan dan akan memilih tarikh baru yang bersesuaian.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Wadi Annuar dan YBhg Tan Sri bersama AJK Masjid Sri Sendayan atas kerjasama dan usaha memakmurkan Masjid, baik melalui ceramah , pembangunan, pemeliharaan, mahupun aktiviti ibadah di dalamnya,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial hari ini.

Naim berkata, mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab semua umat Islam dan beliau yakin dengan semangat ukhuwah serta kerjasama, masjid akan menjadi pusat peradaban Islam yang akan memberdayakan umat serta mengangkat karamah insaniah.
Beliau turut berkongsi sepotong hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Barangsiapa datang ke Masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah SWT akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke Masjid di pagi atau petang hari.” -HR. Bukhari dan Muslim

“Semoga Allah menerima setiap ikhtiar kita dan menjadikan Masjid dan surau sebagai tempat yang penuh barakah dan rahmat-Nya. Amin,” katanya lagi.

Terdahulu, Ustaz Wadi Annuar menerus satu video mendakwa ceramah beliau yang bakal dilangsungkan di Masjid Sri Sendayan semalam dibatalkan walaupun semua persiapan bagi program itu sudah diatur rapi oleh pihak terbabit termasuk pengurusan Masjid Sri Sendayan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Beliau turut mendakwa sudah mendapat surat tauliah daripada pihak MAINS. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast