Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

SHAH ALAM – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menutup sesi penggulungan menegaskan presiden partinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti sebagai pemimpin sejati yang diuji pada saat krisis terbesar negara.

Menurutnya, Muhyiddin bukan sahaja tabah menghadapi cabaran pandemik Covid-19 malah berjaya mengimbangi keutamaan menyelamatkan nyawa rakyat serta menjaga kelangsungan ekonomi negara.

“Beliau diuji ketika seluruh dunia berdepan krisis kesihatan dan ekonomi. Namun Muhyiddin tetap tenang, kekal fokus dan meletakkan nyawa rakyat sebagai keutamaan.

“Itu bukti kepimpinan sebenar,” kata Mohamed Azmin disambut tepukan perwakilan di sini hari ini.

Beliau menegaskan, kepimpinan Muhyiddin berbeza dengan ramai tokoh lain yang hanya mengaku pemimpin ketika keadaan selesa.

“Pemimpin sejati diuji ketika krisis. Kalau tidak, semua orang boleh mengaku dirinya pemimpin tetapi Muhyiddin membuktikan ketabahannya. Ketenangan presiden adalah kekuatan besar parti kita,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohamed Azmin membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya gagal menunjukkan konsistensi ketika memegang kuasa sebaliknya mendakwa hanya lantang bersuara tentang rasuah, kemiskinan dan isu rakyat sebelum memegang tampuk kuasa.

“Anwar bercakap soal Melayu, soal kemiskinan, soal rasuah hanya ketika hilang kuasa tetapi dalam kerajaan, beliau membisu. Itu bezanya dengan Muhyiddin yang berani menegur perasuah walaupun berisiko kehilangan jawatan,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Anwar yang menyindir bekas pemimpin termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya menunjukkan kelemahan dan hipokrasi beliau sendiri.

“Jangan menuding jari kepada orang lain sedangkan ketika kamu berkuasa, kamu tidak berbuat apa-apa,” ujarnya.

Beliau mengakui pernah duduk sebaris dengan Anwar tetapi tetap menghormati keberanian Muhyiddin yang sanggup menentang penyalahgunaan kuasa walaupun harga yang perlu dibayar amat tinggi.

“Ini perbezaan jelas, Muhyiddin bertindak ketika berkuasa, Anwar pula hanya menuding setelah terlepas kuasa. Rakyat boleh menilai siapa yang benar-benar layak memimpin,” tegas Azmin menutup ucapannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast