KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Nora Danish menafikan dakwaan bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang juga perunding kewangan dikenali Mickey Ayo esok.
Ibu tunggal kepada dua anak itu berkata, foto dan video viral yang tular di media sosial itu hanyalah sekadar kempen pemasaran produk yang tidak berkaitan dengan dirinya.
“Assalamualaikum semua, ramai yang tertanya-tanya tentang foto yang viral baru-baru ini. Dengan rasa kasih dan hormat saya ingin jelaskan saya tidak akan berkahwin esok (Isnin).
“Foto dan video yang viral itu adalah sebahagian daripada kempen pemasaran produk dan tidak ada kena mengena dengan saya,” katanya menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya di sini hari ini.
Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 43, bagaimanapun merakamkan penghargaan atas segala doa dan perhatian diberikan peminat yang sentiasa mahu melihat kebahagiaannya.
“Saya sangat hargai segala perhatian dan doa daripada anda semua. Saya harap kenyataan ini dapat menjelaskan tentang salah faham berlaku.
“Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya dengan perhatian dan kebaikan kalian. Sayang semuanya,” ujarnya.
Sebelum ini, perkongsian foto yang diambil Nora dan terselit wajah lelaki lengkap memakai kopiah bercermin mata menarik perhatian netizen di media sosial.
Spekulasi mula timbul apabila Nora dikatakan sedang mengenali seorang lelaki berstatus duda yang mempunyai dua cahaya mata dikenali sebagai Mickey Ayo.
Lebih menguatkan andaian netizen, Mickey turut dilihat menerusi video yang dimuat naik di Instagram sebuah jenama sampin memberitahu dia masih percaya bahawa cinta itu wujud meskipun sudah dua kali gagal dalam perkahwinan.
Dalam hantaran tersebut, Mickey juga dilihat menggayakan busana lengkap berbaju Melayu rona putih seolah-olah seperti seorang pengantin lelaki.
Apa yang menarik perhatian ramai, terdapat juga perkongsian kad undangan perkahwinan yang tertera huruf M dan N bertarikh 8 September 2025. – MalaysiaGazette
















