Suasana kecoh dimulakan beberapa individu ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke-8 Tahun 2025 di IDCC Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2025.

SHAH ALAM – Insiden pergelutan yang tercetus semasa ucapan dasar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 malam tadi adalah sesuatu yang sangat memalukan parti.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim juga menyifatkan kejadian itu adalah satu budaya baharu yang tidak pernah berlaku dalam parti berkenaan sebelum ini.

“Pergelutan semasa ucapan dasar presiden amatlah memalukan parti. Sepatutnya tidak ada sebarang provokasi ataupun tindak balas terhadap provokasi yang berlaku.

“Kita harus menghormati seluruh saf kepimpinan dan perwakilan yang hadir untuk mendengar dasar-dasar serta matlamat perjuangan parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

Beliau mengingatkan bahawa budaya tersebut tidak wajar dibiarkan kerana ia mampu mencetuskan perpecahan dalam parti.

“Ini adalah satu budaya baru yang wujud dalam Bersatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Jika dibiarkan, ia boleh merebak dan merosakkan keharmonian parti,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Sungai Buloh, Shahrulnizam Abdul Razak turut melahirkan rasa kesal terhadap kejadian tersebut.

Katanya, ramai perwakilan masih diselubungi rasa terkejut dan trauma selepas menyaksikan peristiwa itu buat pertama kali.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Sungai Buloh, Shahrulnizam Abdul Razak.

“Amalan sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini. Persoalan yang timbul kini adalah sejauh mana jaminan keselamatan serta ketenteraman semua perwakilan yang hadir,” ujarnya.

Beliau menegaskan aspek kawalan keselamatan perlu dipertingkatkan bagi memastikan sesi perbahasan usul hari ini berjalan lancar dan bebas daripada sebarang gangguan.

“Pihak kami menegaskan keperluan mempertingkatkan kawalan keselamatan sepanjang sesi usul perwakilan esok bagi memastikan setiap perwakilan dapat menyuarakan pandangan mereka mengenai parti dan hala tuju secara bebas.

“Kejadian yang berlaku malam ini tidak seharusnya dijadikan tekanan atau ugutan yang boleh mengekang kebebasan bersuara mana-mana pihak,” tambahnya.

Kedua-dua pimpinan bahagian itu sependapat bahawa disiplin, rasa hormat dan toleransi antara ahli amat penting bagi memastikan Bersatu kekal bersatu padu, sekali gus bersedia menghadapi sebarang pilihan raya pada masa depan. -MalaysiaGazette

Kecoh! Perwakilan Berteriak Sebaik Muhyiddin Dedah Gerakan Jatuhkan Beliau Sebagai Presiden Bersatu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast