Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis berhubung satu komen berunsur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimuat naik di media sosial.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis berhubung satu komen berunsur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimuat naik di media sosial.

Ketua Biro Mobilisasi AMK, Bariqul Zaman berkata, komen berbunyi ‘rumah PMX ini pun tunggu masa je nak dibakar’ yang ditulis oleh individu dikenali MD Johan Nadin di TikTok dan Facebook merupakan satu ancaman serius dan tidak boleh dipandang ringan.

“Kenyataan ini bukan perkara main-main walaupun hanya ditulis di ruangan komen. Ia jelas jatuh di bawah kesalahan ugutan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda.

“Malah jika ugutan itu membabitkan niat untuk memusnahkan harta, hukuman maksimum boleh mencecah tujuh tahun penjara,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan di IPD Shah Alam hari ini.

Menurut Bariqul, kenyataan sedemikian juga boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan media sosial secara tidak wajar.

Sementara itu, wakil Biro Guaman dan Aduan Awam AMK, Khairul Naim Rafidi berkata, laporan polis berkenaan dibuat bagi memastikan tindakan segera diambil terhadap individu terbabit.

“Jika kita lihat secara teliti, kenyataan ini bukan sahaja jatuh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tetapi juga melibatkan unsur ugutan untuk memusnahkan harta yang boleh dikenakan hukuman maksimum sehingga tujuh tahun penjara.

“Kami juga percaya terdapat penggunaan media sosial secara tidak wajar yang boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata.

Khairul Naim menegaskan laporan polis dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas demi kepentingan awam.

“Adalah penting untuk mendidik masyarakat dalam apa jua keadaan sama ada ketika berpolitik, berkomunikasi atau menggunakan media sosial.

“Selain itu, kita juga perlu menjaga adab dan tata susila demi memastikan perpaduan serta kemaslahatan negara ini terpelihara,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast