KUALA LUMPUR – Dakwaan pelajar yang memperoleh kelulusan purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 4.0 gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh mewujudkan persepsi tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie berkata, ia hanya menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat kerana tidak bersandarkan kepada data rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan, Pergerakan Pemuda UMNO telah mendapatkan penjelasan daripada UPU, KPT.
“KPT menegaskan bahawa tiada seorang pun pelajar tempatan yang memperoleh CGPA 4.0 dinafikan tempat di IPTA melalui sistem UPUOnline, kecuali dalam beberapa keadaan tertentu.
“Antaranya calon tidak menduduki Malaysian University English Test (MUET) atau calon berstatus bukan warganegara,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA, Ong Chee Siang berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada ibu bapa berhubung kegagalan anak mereka mendapat tempat di IPTA walaupun memperoleh CGPA 4.0.
Pemuda MCA menuntut KPT memberi penjelasan mengenai jumlah tempat yang diisi melalui saluran terbuka berbayar dan sistem kemasukan universiti awam (UPU) serta jumlah kuota untuk lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Sollehin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang berkata, sekiranya dakwaan itu berasas, sepatutnya Pemuda MCA mengemukakan data rasmi terus kepada KPT.
“Malah, KPT telah menyediakan saluran rayuan dan kaunter maklum balas bermula pada 8 hingga 14 September ini untuk menangani sebarang isu yang timbul.
“Menyebarkan persepsi tanpa fakta hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.
“Adalah tidak wajar untuk mengangkat isu STPM sahaja seolah-olah aliran lain diketepikan. Sekiranya benar terdapat calon yang layak tetapi tidak mendapat tempat, nyatakan bukti dengan jelas,” katanya.
Sementara itu, Sollehin membidas dakwaan kononnya tempat anak tempatan telah “diambil” oleh pelajar antarabangsa sedangkan fakta sebenar menunjukkan lebih 97 peratus pelajar prasiswazah di IPTA merupakan anak tempatan.
“Pelajar antarabangsa hanya sekitar dua hingga tiga peratus di peringkat ijazah pertama, manakala peningkatan yang berlaku adalah di peringkat pascasiswazah (sarjana dan PhD).
“Pascasiswazah merupakan ruang dan peluang untuk universiti menambah baik penyelidikan, kerjasama antarabangsa, kedudukan dan fasiliti universiti melalui yuran penuh yang dibayar oleh pelajar antarabangsa.
“Keadaan ini sama sekali tidak menjejaskan peluang anak tempatan di peringkat prasiswazah kerana kuota dan kedudukan itu masih dikawal,” katanya.
Katanya, KPT kekal komited memastikan setiap anak Malaysia yang layak, khususnya mereka yang memperoleh keputusan cemerlang diberikan peluang untuk menyambung pengajian di IPTA.
“Hentikanlah menjadikan pendidikan sebagai senjata politik untuk kepentingan parti politik, tanpa memikirkan kesan negatif akibat perbuatan tersebut.
“Malah Pemuda UMNO akan terus bersuara demi kepentingan rakyat keseluruhannya, bukan menembak melulu tanpa menyelidik fakta dalam soal pendidikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















